Gagasan Generasi Reformasi – Untuk AMK dan Anak Muda
Gerakan reformasi yang tercetus pada tahun 1998 membawa lembaran baru kepada sejarah politik tanahair apabila ia menggabungkan kumpulan-kumpulan yang berbeza tetapi mempunyai matlamat yang sama. Keunikan gerakan reformasi adalah apabila semua pihak yang berlainan pendekatan diberikan ruang sepenuhnya untuk menyumbang ke arah matlamat membawa perubahan kepada negara.
Dari gerakan ini, lahir satu generasi yang berbilang bangsa, pelbagai latar belakang, kepakaran dan pendekatan tetapi berkongsi matlamat yang sama. Generasi Reformasi ini mewakili suara anak Malaysia yang mahukan perubahan dinamik secara berterusan demi kesejahteraan rakyat.
Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) adalah kesinambungan kepada perjuangan Generasi Reformasi yang bermula pada tahun 1998. Walaupun isu pokok yang menjadi teras perjuangan ini tetap sama, pelbagai isu baru juga timbul dan perlukan pembelaan sewajarnya.
PRU13 juga akan menyaksikan kuasa orang muda yang dianggarkan berjumlah 4.6 juta dalam menentukan pentadbiran di Putrajaya. Parti-parti yang berjaya menjunjung isu yang dekat dengan orang muda secara berkesan di peringkat nasional akan mempunyai kelebihan.
Oleh itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) sebagai barisan utama dalam mendekati orang muda memerlukan dinamisme yang tinggi. Isu yang diperjuangkan perlu melambangkan aspirasi majoriti 4.6 juta pengundi muda yang mempunyai citarasa yang berbeza-beza. Pendekatan yang digunakan juga perlu dipelbagaikan untuk menarik minat sebahagian besar anak muda yang pada ketika ini tidak berminat dengan politik.
Berdasarkan misi ini, saya dan rakan-rakan yang lahir dari semangat kebersamaan dan kepelbagaian hasil dari gerakan reformasi ingin menawarkan diri untuk menyuntik dinamisme itu ke dalam AMK, sebagai persediaan menghadapi PRU13.
Kami yang menamakan diri kami Generasi Reformasi, melihat kepada beberapa perkara asas yang perlu diperkukuhkan oleh AMK seperti berikut:
1. Membawa pendekatan baru untuk mempelbagaikan isu-isu orang muda yang diangkat ke peringkat nasional seperti perumahan mampu milik, kerjaya dan pendapatan berkualiti, kebebasan internet, kebebasan ilmiah orang muda di universti dan pembiayaan pendidikan yang adil; seterusnya memikat pengundi-pengundi muda;
2. Memperkukuhkan organisasi di peringkat akar umbi dengan memastikan persediaan kewangan yang memuaskan dan urustadbir akar umbi yang baik;
3. Tumpuan khusus kepada latihan kepimpinan dengan memberi ruang yang seluasnya kepada pimpinan bawah 30 tahun sebagai persediaan masa hadapan.
Dengan ini, kami menawarkan diri dengan barisan awal seperti berikut:
Calon Ketua AMK : Mohd Rafizi Ramli
Ahli Majlis Pimpinan Pusat dan
Bendahari Keadilan Terengganu
Calon Timbalan Ketua AMK : YB Amirudin Shari (Naib Ketua AMK dan
ADUN Batu Caves)
Calon Naib Ketua AMK :
YB Sim Tze Tzin (ADUN Pantai Jerejak)
YB Kesavan Subramaniam (Naib Ketua AMK danADUN Hutan Melintang)
Calon EXCO :
YB Chang Lih Kang (EXCO AMK dan ADUN Teja)
Sdr Halimey Abu Bakar (Mantan Ketua AMK Selangor)
Sdr M A Tinagaran (Ketua Biro Integrasi Keadilan Perak)
Sdr Saifullah Zulkifli (Mantan Naib Presiden PKPIM dan
Pengerusi Siswazah Muda ABIM)
Sdr Jafery Jameon (Ketua AMK Kota Kinabalu)
Kami mengalu-alukan perdebatan yang sihat demi mengukuhkan AMK menjelang PRU13, terutamanya yang berkisar tentang pendekatan menyuntik dinamisme ke dalam AMK untuk memikat lebih ramai pengundi muda.