Tanggapan & Cerapan Amir Sari

Terkini

Catatan Ramadhan: Pandangan Hal Jais – DUMC

Ramadhan telah tiba ke 10 hari terakhir, program terus padat. Selain aturcara yang disusun pejabat pusat khidmat pengurusan Dun Batu Caves ada beberapa jemputan dari Ketua Kampung, Masjid, ahli majlis dan Jabatan harus dipenuhi.

Ramadhan datang namun isu politik terus bertubi, salah satunya isu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat pemeriksaan (menurut kacamata Jais) terhadap satu program di satu Dewan Komuniti sebuah Gereja di Damansara Utama, Petaling Jaya. Kali ini melibatkan sebuah acara yang menggunakan slogan Jamuan Makan 1 Malaysia dikatakan mempunyai unsur mencurigakan bagi “memurtadkan” orang Islam.

Sebagaimana biasa isu negeri Selangor akan sesegera diputar-putar oleh media kendalian BN dan blogger upahan  untuk mengambarkan imej tidak baik pentadbiran Pakatan Rakyat. Hiprokasi beberapa watak juga muncul yang kononya sebelum ini membantah demonstrasi aman Bersih telah membuat demonstrasi membantah sikap kerajaan negeri yang dikatakan membela gereja.

Malah beberapa pimpinan Umno yang disadur menjadi NGO,  juga NGO yang ingin menyerap ke Umno  mengeluarkan kenyataan mengecam dengan lenggok politik yang mahu kesimpulan rakyat bahawa nasib agama Islam dan orang Melayu tergadai dibawah Pakatan Rakyat.

Siaran media digunakan sebanyak mungkin memancarkan hal ini walau masih tidak tahu hujung pangkalnya kes ini,  paling tidak mengurangkan fokus rakyat pada isu pasca Bersih yang melibatkan beberapa bukti dan pengakuan cacatnya sistem pilihanraya Malaysia.

Teringat pula kisah Aisyah Bukhari yang dikatakan Murtad pada hujung 90-an yang nampaknya tidak dibuat liputan semeriah kes ini, mungkin kerana kes tersebut tidak boleh dipintal-pintal oleh Umno menjadi modal politik, mereka mendiamkan diri.

Bagi kerajaan Pakatan kita amat hati-hati menanggani hal ini kerana tidak mahu ada yang teraniaya dan ketidakadilan terhasil kerana sikap terburu-buru. Ini adalah seruan dalam ajaran dan amalan Islam yang tertulis dalam sirah dan sejarah Nabi berkenaan hubungan antara berbilang agama.

Ada sebahagian yang saya kira  “naif” atau memang ada persepsi sedia ada di kepala mereka akibat dorongan lama Umno — hanya Umno dan BN yang boleh membela Melayu Islam, melihat isu ini isu akidah, dan kita harus tanggani secara tegas.

Saya amat menyokong tindakan tegas jika ada bukti dan jelas usaha memurtad, tetapi disebalik laporan Jais masih tidak lagi disiapkan, agak mencurigakan bagaimana laporan dan beberapa bukti yang sepatutnya tidak didedahkan diserah pada tentera upahan cyber Umno yang lebih gemar membakar sentimen / emosi terlebih dahulu. Sebab itu hal ini seperti terhidu aroma politik yang kuat terutama mereka yang menyebar kepada budak upahan cyber Umno sebagai medium mendedah ‘bukti’.

Malahan ada yang cuba mempertahankan kelemahan dengan cepat-cepat mengaitkan Jais adalah dibawah Sultan dan apa-apa teguran serta kritikan pada Jais bermakna mengkritik Sultan (Pandangan bagi mereka diabad ke 16). Bagi saya isu ini telah dipermainkan jauh dari isu pokok iaitu adakah majlis itu melanggar undang-undang  dan adakah Jais telah bertindak berlandas undang-undang.

Sejak Pakatan Rakyat Isu Kaum dan Agama dengan bingkai yang sempit memang gemar dibakar oleh pimpinan Umno dan saduranya. Teringat lagi demo arak kepala lembu dua tahun lalu. Walaupun sebahagian mereka menjerit mahu membela Islam kadangkala kelihatan kumpulan ini memang tiada minat meningkatkan kefahaman tentang Islam, kemana mereka dalam kes Qazaf Dato Seri Anwar Ibrahim yang nampak dibiarkan oleh Menteri Agama Umno, Judi sukan dan banyak lagi hal yang saya kira penting untuk dijelaskan kepada awam. Dalam hal Jais-DUMC ini saya kira pandangan beberapa ilmuan Islam seperti Dr Asri juga wajar diberi ruang untuk dibincangkan dan kini peran media sebagai alat mencerahkan manusia amatlah  penting dalam bangsa kita.

Disebalik hinggar binggar isu Jais-DUMC, program semarak Ramadhan terus berjalan rancak walau telah sampai ke 10 hari terakhir Ramadhan. Semenjak Pakatan diberi amanah oleh rakyat dalam pilihanraya umum lepas program masjid dan surau memang lebih bagus dan meriah, jika dahulu tazkirah seolah ‘haram’ kini peringatan agama dan pengembangan ilmu Islam amat rancak di Masjid dan Surau. Malahan zaman BN dahulu surau diarah tutup kerana ada tazkirah tapi kini bukan hanya tazkirah banyak program yang kreatif dan menyegarkan wujud di Masjid / Surau seluruh Selangor, suatu perbezaan yang hanya boleh dinafikan oleh mereka yang buta hati.

 

 

 

 

Advertisement

Sekilas aktiviti minggu pertama Ramadhan

Dikesempatan Ramadhan ini  saya telah mengambil peluang untuk turun sendiri meninjau masyarakat dengan pelbagai aktviti yang diatur oleh pejabat urusan Dun mahupun pihak lain selain program biasa solat terawikh di Masjid dan Surau sekitar batu Caves.  Terima kasih saya ucapkan kepada pihak-pihak yang membantu dan menyumbang khusus  Sdr Jafrien Ketua AMK serta jentera AMK Gombak dan Puan Faridah dan petugas Wanta Gombak yang  turut sama dalam program semarak Ramadhan tahun ini.

Mari Berbuka Bersama Saudara Kita (Kg Nakhoda)– Program baru yang cuba diaturkan oleh Pejabat Dun dengan harapan mereka yang kurang bernasib baik dapat diceriakan ketika menyambut Ramadhan, kali ni destiansi dirumah en Habib Wira bertempat Jln Nakhoda A

Saya dan isteri bersama keluarga Habib

serahkan sumbangan AMK Gombak

sumbangan duit raya

tahlil sebelum waktu iftar tiba

Sumbangan Anak Yatim Masjid Jamiatus Solahiah, Sg Tua – Seramai 73 penerima dikalangan anak yatim kariah Masjid Jamiatus Solahiah menerima sumbangan Ramadhan dan Syawal, Lebih 22 ribu disumbangkan oleh orang ramai kepada tabung masjid telah diagihkan kepada penerima.

Bersama Penerima Bantuan

Salah seorang penerima

Merasmikan Serahan Bubuk Lambuk Masjid Al Amaniah – Program Bubur Lambuk Al Amaniah merupakan program tradisi masjid Daerah tersebut sejak lebih 7 tahun lalu. Kira-kira 1000 bungkus bubur lambuk disediakan setiap hari Ramadhan sehingga 25 Ramadhan untuk penduduk dan jemaah yang boleh mula diambil selepas solat Asar

serahan bubur lambuk

Ziarah Pasar Ramadhan Kg Nakhoda / Kg Laksamana


Program Semarak Ramadhan Dun Batu Caves 2011/1432

1. Ziarah Masjid dan Surau – Menziarahi Masjid dan Surau sekitar Batu Caves,   merupakan program lumrah YB Amirudin pada bulan Ramadhan untuk lebih mesra dan mendekati masyarakat

Tarikh : Dari 6 Ogos/ Ramadhan sehingga 24 Ogos / Ramadhan

2 Mari Berbuka Bersama Saudara Kita– YB Amirudin bersama pimpinan setempat meluang masa menziarahi rumah terpilih untuk berbuka bersama dengan tujuan meringankan beban mereka yang memerlukan

Kampung Nakhoda – 7 Ogos / Ramadhan

Kampung Selayang Baru – 14 Ogos / Ramadhan

Kampung Baru – 16 Ogos / Ramadhan

Kampung Sg Tua – 18 Ogos / Ramadhan

Kampung Wira Damai – 19 Ogos / Ramadhan

Kampung Laksamana – 23 Ogos / Ramadhan

Kampung Sg Kertas – 24 Ogos / Ramadhan

3. Ziarah Pasar Ramadhan – melawat pasar Ramadhan sekitar Batu Caves sambil mengedarkan kurma untuk pengunjung jadikan juadah berbuka puasa

Pasar Ramadhan Kg Nakhoda / Kg Laksamana – 7 Ogos / Ramadhan (6.00 petang)

Pasar Ramadhan Taman Batu Caves – 16 Ogos / Ramadhan (6.00 petang)

Pasar Ramadhan Selayang Baru – 14 Ogos / Ramadhan (6.00 petang)

4. Qiamulail bersama Ustaz Zamri Mari Mengaji – Qiamulail bagi menghidupkan sepuluh malam terakhir dengan dipandu oleh Ustaz  Zamri.

Masjid Amaniah –  22 Ogos (3.30 pg)

Masjid Jamiatus Solahiah Sg Tua – 23 Ogos 2011 (3.30 pg)

Masjid Nakhoda – 25 Ogos 2011 (3.30 pg)

5. Sumbangan Kasih Aidilfitri – YB Amirudin Shari & YB Azmin Ali menyampaikan sumbangan  kepada mereka yang memerlukan sempena sambutan Aidilfitri

21 Ogos 2011 / 21 Ramadhan – Masjid Jamek Kampung Nakhoda

Perutusan Ramadhan

Ramadhan datang lagi menjengah kita. Bulan mulia yang menjanjikan ganjaran besar kepada umat Islam – terbuka luasnya pintu rahmat Allah, dan tertutupnya pintu Neraka sepanjang bulan ini merupakan nikmat dan ganjaran besar daripada Allah.

Bulan ini seluruh umat Islam diwajibkan menunaikan ibadah puasa yang berpaksikan kepada proses menahan diri. Secara lahiriahnya puasa cukup sekadar menahan diri dari makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa dalam satu tempoh yang ditetapkan.

Namun bagi memperoleh kesan yang berkualiti dari ibadah puasa proses menahan diri itu haruslah lebih luas kepada pancaindera manusia yang lain seperti mata, telinga dan hati bagi mengekang nafsu yang banyak mengerakkan tingkah manusia kearah keburukkan.

Melalui pendidikan hati inilah masanya bagi kita bersama melakukan proses pembersihan jiwa dan perbuatan yang melahirkan manusia dan umat yang berkualiti. Umat yang berkualiti adalah bagi mereka yang mencapai cita-cita Ramadhan iaitu meningkat dan mencapai ketakwaan kepada Allah, merekalah golongan mampu merentasi halangan dan cubaan dunia juga melakukan perubahan dan Islah dalam kehidupan seharian kita.

Dikesempatan ini saya dan seluruh pegawai Pejabat DUN Batu Caves serta seluruh   jawatankuasa Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Rakyat Dun Batu Caves ingin mengucapkan selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak, dan ingin menjemput semua bersama – sama program anjuran kerajaan negeri dan secara khusus anjuran Pejabat Dun yang tidak lain berhasrat menyemarakkan lagi suasana bulan mulia ini.

Harapan saya ibadah Puasa tahun ini dapat kita lalui bersama dengan tekun seterusnya mampu mengekang nafsu dan mendidik jiwa kita, dengan ini kita mampu menonjolkan kualiti insan yang kerap dicoreng oleh agresifnya nafsu dalam kehidupan seharian.

Ramadhan Mendidik Jiwa Mengerak Islah

Amirudin Shari

Adun Batu caves

Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak

Gagasan Generasi Reformasi – Untuk AMK dan Anak Muda

Gerakan reformasi yang tercetus pada tahun 1998 membawa lembaran baru kepada sejarah politik tanahair apabila ia menggabungkan kumpulan-kumpulan yang berbeza tetapi mempunyai matlamat yang sama. Keunikan gerakan reformasi adalah apabila semua pihak yang berlainan pendekatan diberikan ruang sepenuhnya untuk menyumbang ke arah matlamat membawa perubahan kepada negara.

Dari gerakan ini, lahir satu generasi yang berbilang bangsa, pelbagai latar belakang, kepakaran dan pendekatan tetapi berkongsi matlamat yang sama. Generasi Reformasi ini mewakili suara anak Malaysia yang mahukan perubahan dinamik secara berterusan demi kesejahteraan rakyat.

Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) adalah kesinambungan kepada perjuangan Generasi Reformasi yang bermula pada tahun 1998. Walaupun isu pokok yang menjadi teras perjuangan ini tetap sama, pelbagai isu baru juga timbul dan perlukan pembelaan sewajarnya.

PRU13 juga akan menyaksikan kuasa orang muda yang dianggarkan berjumlah 4.6 juta dalam menentukan pentadbiran di Putrajaya. Parti-parti yang berjaya menjunjung isu yang dekat dengan orang muda secara berkesan di peringkat nasional akan mempunyai kelebihan.

Oleh itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) sebagai barisan utama dalam mendekati orang muda memerlukan dinamisme yang tinggi. Isu yang diperjuangkan perlu melambangkan aspirasi majoriti 4.6 juta pengundi muda yang mempunyai citarasa yang berbeza-beza. Pendekatan yang digunakan juga perlu dipelbagaikan untuk menarik minat sebahagian besar anak muda yang pada ketika ini tidak berminat dengan politik.

Berdasarkan misi ini, saya dan rakan-rakan yang lahir dari semangat kebersamaan dan kepelbagaian hasil dari gerakan reformasi ingin menawarkan diri untuk menyuntik dinamisme itu ke dalam AMK, sebagai persediaan menghadapi PRU13.

Kami yang menamakan diri kami Generasi Reformasi, melihat kepada beberapa perkara asas yang perlu diperkukuhkan oleh AMK seperti berikut:

1. Membawa pendekatan baru untuk mempelbagaikan isu-isu orang muda yang diangkat ke peringkat nasional seperti perumahan mampu milik, kerjaya dan pendapatan berkualiti, kebebasan internet, kebebasan ilmiah orang muda di universti dan pembiayaan pendidikan yang adil; seterusnya memikat pengundi-pengundi muda;
2. Memperkukuhkan organisasi di peringkat akar umbi dengan memastikan persediaan kewangan yang memuaskan dan urustadbir akar umbi yang baik;

3. Tumpuan khusus kepada latihan kepimpinan dengan memberi ruang yang seluasnya kepada pimpinan bawah 30 tahun sebagai persediaan masa hadapan.

Dengan ini, kami menawarkan diri dengan barisan awal seperti berikut:
Calon Ketua AMK     :     Mohd Rafizi Ramli

Ahli Majlis Pimpinan Pusat dan

Bendahari Keadilan Terengganu

Calon Timbalan Ketua AMK     :     YB Amirudin Shari (Naib Ketua AMK dan
ADUN Batu Caves)

Calon Naib Ketua AMK     :

YB Sim Tze Tzin (ADUN Pantai Jerejak)

YB Kesavan Subramaniam (Naib Ketua AMK danADUN Hutan Melintang)

Calon EXCO     :

YB Chang Lih Kang (EXCO AMK dan ADUN Teja)
Sdr Halimey Abu Bakar (Mantan Ketua AMK Selangor)
Sdr M A Tinagaran (Ketua Biro Integrasi Keadilan Perak)
Sdr Saifullah Zulkifli (Mantan Naib Presiden PKPIM dan
Pengerusi Siswazah Muda ABIM)
Sdr Jafery Jameon (Ketua AMK Kota Kinabalu)

Kami mengalu-alukan perdebatan yang sihat demi mengukuhkan AMK menjelang PRU13, terutamanya yang berkisar tentang pendekatan menyuntik dinamisme ke dalam AMK untuk memikat lebih ramai pengundi muda.

Tugas hari pertama di Melaka: Brake Rosak, Bertemu Kenalan Lama

jadual terkini melibatkan Selangor sila klik disini

Semalam memulakan tugas di Melaka, sebenarnya bermula 4 hari lalu telah secara rasmi tugas sebagai ketua kontigen bermula tetapi banyak urusan pemantauandi Shah Alam kerana belum ramai yang turun ke Melaka, semalam perlawanan pertama skuad bola sepak Selangor bertemu Sabah untuk Sukma. Saya sempat sampai jam 5.00ptg, kira-kira 13 minit masa permnaian bermula, Alhamdulillah Selangor berjaya mencatat kemenangan 4-0 keatas Sabah, walau Sabah menampilkan hampir 70 % pemain liga premier. Rencana pulang tertunda, terpaksa tidur kerana kereta ada masalah brake. Ada hikmahnya juga kerana sempat bertemu gimnas-gimnas yang tinggal di Muar, Johor, kerana hari ini mereka memulakan cabaran bagi acara berpasukan lelaki. Pasukan gimnas lelaki Selangor antara pasukan tumpuan mendapatkan emas, selain Pulau Pinang dan Kelantan (errm  kebetulan semua negeri Pakatan). Harap mereka berjaya, dan mendengar berita gembira petang ini.

Hari ini di Sekretariat melihat semua pegawai bertugas, bahang di pejabat sekretariat seperti pilihanraya, semua negeri berlumba mengibar bendera dan bunting untuk menunujukkan kekuatan bendera. Bertemu bapa angkat kontigen Selangor dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka. En Yazid pegawai bertugas, kebetulan beliau kenalan lama sewaktu saya belajar di Johor. Sewaktu menuntut di matrikulasi sains fizik UPM di Yayasan Pelajaran Johor, rumahnya satu blok dengan penempatan pelajar. Kami pelajar YPJ ditempatkan dengan blok penempatan pegawai kerajaan di Apartmen Saujana. Di sana saya mula belajar dengar ceramah Pas kebetulan masa itu ledakan reformasi meletus di Kuala Lumpur. Kami di Johor hanya mendapat berita dari ceramah dan kaset yang banyak terjual ditempat ceramah. 

Selalunya setiap petang kami bermain takraw bersama penduduk termasuk pegawai-pegawai kerajaan dan persekutuan yang tinggal disitu, sebagai aktiviti riadah dan tidak sangka bertemu beliau di sini. Sepanjang Sukma, beliau akan membantu saya semasa melawat tempat pertandingan.  

Hari Minggu yang padat

Program MES, Gotong Royong Mingguan Selayang Baru, Melawat Gudwara

Semalam jadual saya agak padat selain program kemasyarakatan sudah pasti  memenuhi jemputan kenduri kahwin yang pasti banyak sempena cuti sekolah. Awal pagi saya sempat menjenguk teman-teman petugas dan sukarelawan di Apartmen Cempaka untuk kempen mendaftar program MES dan sekaligus mendaftarkan pengundi-pengundi baru. Tidak punya masa yang lama bersama mereka saya perlu bergegas ke Selayang baru sekitar jalan 8-13 untuk ke program gotong-royong mingguan yang dianjurkan oleh JKKK.

Dalam masa yang sama sekaligus dapat saya pergi rumah ke rumah berjumpa terus dengan rakyat untuk menerangkan program kerajaan negeri dan mengetahui permasalah mereka yang banyak berkaitan dengan infrastruktur yang perlu dilipat gandakan usaha menambah baik.

Dalam kawasan tersebut juga terdapat Gudwara (sikhs Temple) yang telah dibina sejak 1971. Saya dan pengerusi JKKK Hj Azizul sempat singgah dan bertemu Jawatankuasa Gudwara yang kebetulan baru selesai bermesyuarat. Mereka juga menjemput saya menyampaikan ucapan dan dimaklumkan mereka baru saya dapat bantuan RM 20,000 dari kerajaan negeri, setelah sekian lama mereka tidak emndapat bantuan sebanyak itu dari pentadbiran lepas lalu  dapat mereka mengantikan permaidani tempat mereka menyempurnakan ritual.

5 Kenduri kahwin

Selepas itu mengambil masa 20 minit di pejabat menukar pakaian untuk kei jemputan kenduri Kahwin. Bermula ke rumah Hj Tajudin di Taman Selayang, terus ke rumah Pak Idris, Pengerusi surau dan ketua cawangan Pas Pangsapuri Cempaka, Rumah Abang Zainal Abidin, Ketua Kampung/ JKKK Mahkota. Kemudiannya barulah keluar ke Gombak Setia, untuk majlis perkahwinan anak Hj Mustafa AJK keadilan Cabang Gombak dan ke Shah Alam menghadiri jemputan kahwin Amin Ahmad, kawan lama di UPM seorang yang beridealisme dan mandiri. Sekarang beliau bertugas di Pejabat Menteri Besar Selangor. Di majlis kenduri Amin saya tiba bersama YB Tian Chua, sesiapa mengikuti twitternya pasti tahu semalam. Kebetulan Dato` MB juga datang tidak lama selapas saya dan Tian tiba.

Kejohanan futsal Padang Piala Dunia MPS

Kira-kira jam 4.15 pm saya dan teman-teman ke penutupan Kejohanan futsal Padang Piala Dunia MPS . Kejohanan ini merupakan anjuran kerajaan negeri dibawah JK Tetap Belia dan sukan, MSNS Holding, SBNS turutan dari jelajah futsal Gen S tahun lalu. Tahun ini sempena piala dunia, Johan dan Naib Johan bagi setiap PBT akan ke peringkat akhir insyaLLah pada 3-4 Julai nanti mengikut format piala dunia.  Dianggarkan hampir 2300 peserta akan menyertai kejohanan ini dikalangan belia-belia di nbegeri Selangor.  Semalam YB Gan Pei Nei turut hadir dan kebetulan 3 dari 4 pasukan yang layak ke separuh akhir dari zon Batu Caves. Pertandingan akhir juga melibat pasukan-pasukan dari Batu Caves. Tahniah pada JKP zon 15 bawah sdr Nanto Gopalan dan Pengerusi PeBT sdr Faizal @ Kojak yang menjadi juara menewaskan pasukan dari zon 14 di bawah penegrusi PeBT Razali. Amat berpuas hati dengan kerja penganjur tahniah Amir, pengerusi PeBT zon dan Puan Mai dan semua yang menganjurkan program dengan jayanya. Dalam ucapan saya menyatakan komitmen kerajaan negeri atas pembangunan sukan tetapi menghalang kegiatan judi bola yang diberikan lesen oleh kerajaan BN kerana sukan bola sepak kita telah rosak kualiti dan  imej akibat kegiatan beli permainan akibat judi bola pada tahun 90-an.

sebelah malam  saya hadir di Majlis Kelab Bell Tamil Batu Caves dan JKP zon menyambut hari ibu bapa dan ulang tahun KBBT ke 37. dalam ucapan saya menegaskan peri penting sikap hormat dan menghargai ibu-bapa sebagaimana dalam kebudayaan kita dan manusia. Dalam kebudayaan masyarakat india Ibu diletakkan dalam kedudukan pertama untuk di hormati barulah bapa, guru dan dewa. Mata, pata, guru dan dewa. Hampir saya dengan pesan Rasulullah bila ditanya sahabat siapakah yang patut kita hormati dan patuh.

Mengetuai Kontigen SUKMA

Bermula semalam kontigen Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor  ke 13, mula berlepas ke Melaka membawa harapan dan sandaran oleh seluruh peminat dan penyokong sukan Selangor. Kali ini Selangor menghantar 640 orang daripada atlit, pegawai, jurulatih dan urusetia MSNS yang akan bertungkus lumus memastikan kejuaran keseluruhan dapat digapai.

Sekali lagi saya diamanahkan oleh kerajaan negeri dan jawatankuasa pengurus  sebagai ketua kontigen insyallah untuk memastikan misi juara di capai. sekalung terima kasih pada semua pihak yang terlibat terutamanya kerajaan negeri, dan GLC yang telah membiayai persediaan dan kontigen SUKMA kali ini. Juga pada Pegawai MSNS, persatuan sukan, jurulatih, pengurus dan atlit yang telah mula bekerja kira-kira 1 setengah tahun lalu.Juga kepada pihak PBT yang sedia menjadi bapa angkat bagi sukan-sukan yang akan dipertandingkan.

Khamis lalu satu program penyerahan bendera tanda simbolik pada kontigen berlangsung di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor. Dato` Menteri Besar telah menyempurnakannya dan berharap suntikan semangat dapat terus melonjakkan prestasi atlit di Melaka.

Kepada peminat dan penyokong jika berkesempatan sila hadir ke Melaka menyokong pasukan Selangor.

Universiti diragum oleh penguasa yang gagal faham inspirasi pendidikan

Hari ini saya mengeluarkan kenyataan berkenaan sikap Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khalid Nordin berhubung sikap beliau yang seolah-olah paranoid dengan diskusi buku Barry Wain minggu lalu di Universiti Malaya. Sikap ini menunjukkan kreadibiliti yang rendah beliau terhadap fungsi universiti dan pengembangan diskusi intelek di Malaysia, Malaysiakini.com turut melapor kenyataan saya : berikut kenyataan penuh saya.

……

Amaran Pada UM, Tindakan Khaled Nordin Kebumikan kebebasan Akademik

Angkatan Muda Keadilan (AMK), prihatin dan mengecam tindakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui menterinya, Datuk Seri Khaled Nordin yang mengarahkan Universiti Malaya (UM) menghantar laporan terperinci berikutan program Syarahan Barry Wain, berhubung perbincangan bukunya yang bertajuk “Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times” baru-baru ini.

Kami melihat tindakan tersebut seolah-olah merupakan satu tekanan atau amaran  terhadap universiti tertua negara itu dan juga kepada universiti lain yang sekaligus mengkebumikan kebebasan akademik di universiti-universiti Malaysia.

Kebebasan akademik sangat diperlukan bagi menjamin kualiti pendidikan di universiti, bukan hanya untuk memastikan kedudukan universiti naik ditangga universiti terbaik dunia tetapi yang lebih utama ialah melahirkan manusia-manusia yang luwes dan matang yang sekaligus mampu menjadi penyangga kepada kedudukan Negara di masa depan.

Namun tindakan Khaled kelihatan menyemai budaya takut kepada pentadbir,pensyarah universiti dan seterusnya kepada mahasiswa/ mahasiswi dari menyatakan kebenaran dan mengulas sesuatu dari sudut ilmiah dan akademik.

Kebimbangan Khaled, kononnya program tersebut hanya digunakan untuk memburukkan negarawan, Umno dan orang Melayu amatlah dangkal dan bodoh dan seperti mahu menutup kebenaran yang tersembunyi dari buku Barry Wain.

Amat memalukan seorang yang menjadi menteri bagi lembah ilmu menjadi seorang yang begitu anti-ilmu kerana ketakutan politik dan kehausan untuk mengekalkan kekuasaan Umno-BN.

Adalah sangat melucukan perbahasan tentang kandungan buku Barry Wain telah diulas di merata tempat, tetapi ianya seolah dilarang untuk dibahas di dalam universiti.

Bagi kami tindakan ini adalah suatu pengkhianatan kepada masa depan Negara kerana cubaan menutup dan menghalang mahasiswa-mahasiswi tempatan terdedah dengan perdebatan sihat dan menyegarkan.

Amirudin Shari

Naib Ketua

Angkatan Muda Keadilan Malaysia