Tanggapan & Cerapan Amir Sari

Seni-Budaya

Advertisement

Jemputan Rumah Terbuka Dun Batu Caves, Parlimen Gombak dan Cabang Gombak


Catatan Ramadhan: Pandangan Hal Jais – DUMC

Ramadhan telah tiba ke 10 hari terakhir, program terus padat. Selain aturcara yang disusun pejabat pusat khidmat pengurusan Dun Batu Caves ada beberapa jemputan dari Ketua Kampung, Masjid, ahli majlis dan Jabatan harus dipenuhi.

Ramadhan datang namun isu politik terus bertubi, salah satunya isu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) membuat pemeriksaan (menurut kacamata Jais) terhadap satu program di satu Dewan Komuniti sebuah Gereja di Damansara Utama, Petaling Jaya. Kali ini melibatkan sebuah acara yang menggunakan slogan Jamuan Makan 1 Malaysia dikatakan mempunyai unsur mencurigakan bagi “memurtadkan” orang Islam.

Sebagaimana biasa isu negeri Selangor akan sesegera diputar-putar oleh media kendalian BN dan blogger upahan  untuk mengambarkan imej tidak baik pentadbiran Pakatan Rakyat. Hiprokasi beberapa watak juga muncul yang kononya sebelum ini membantah demonstrasi aman Bersih telah membuat demonstrasi membantah sikap kerajaan negeri yang dikatakan membela gereja.

Malah beberapa pimpinan Umno yang disadur menjadi NGO,  juga NGO yang ingin menyerap ke Umno  mengeluarkan kenyataan mengecam dengan lenggok politik yang mahu kesimpulan rakyat bahawa nasib agama Islam dan orang Melayu tergadai dibawah Pakatan Rakyat.

Siaran media digunakan sebanyak mungkin memancarkan hal ini walau masih tidak tahu hujung pangkalnya kes ini,  paling tidak mengurangkan fokus rakyat pada isu pasca Bersih yang melibatkan beberapa bukti dan pengakuan cacatnya sistem pilihanraya Malaysia.

Teringat pula kisah Aisyah Bukhari yang dikatakan Murtad pada hujung 90-an yang nampaknya tidak dibuat liputan semeriah kes ini, mungkin kerana kes tersebut tidak boleh dipintal-pintal oleh Umno menjadi modal politik, mereka mendiamkan diri.

Bagi kerajaan Pakatan kita amat hati-hati menanggani hal ini kerana tidak mahu ada yang teraniaya dan ketidakadilan terhasil kerana sikap terburu-buru. Ini adalah seruan dalam ajaran dan amalan Islam yang tertulis dalam sirah dan sejarah Nabi berkenaan hubungan antara berbilang agama.

Ada sebahagian yang saya kira  “naif” atau memang ada persepsi sedia ada di kepala mereka akibat dorongan lama Umno — hanya Umno dan BN yang boleh membela Melayu Islam, melihat isu ini isu akidah, dan kita harus tanggani secara tegas.

Saya amat menyokong tindakan tegas jika ada bukti dan jelas usaha memurtad, tetapi disebalik laporan Jais masih tidak lagi disiapkan, agak mencurigakan bagaimana laporan dan beberapa bukti yang sepatutnya tidak didedahkan diserah pada tentera upahan cyber Umno yang lebih gemar membakar sentimen / emosi terlebih dahulu. Sebab itu hal ini seperti terhidu aroma politik yang kuat terutama mereka yang menyebar kepada budak upahan cyber Umno sebagai medium mendedah ‘bukti’.

Malahan ada yang cuba mempertahankan kelemahan dengan cepat-cepat mengaitkan Jais adalah dibawah Sultan dan apa-apa teguran serta kritikan pada Jais bermakna mengkritik Sultan (Pandangan bagi mereka diabad ke 16). Bagi saya isu ini telah dipermainkan jauh dari isu pokok iaitu adakah majlis itu melanggar undang-undang  dan adakah Jais telah bertindak berlandas undang-undang.

Sejak Pakatan Rakyat Isu Kaum dan Agama dengan bingkai yang sempit memang gemar dibakar oleh pimpinan Umno dan saduranya. Teringat lagi demo arak kepala lembu dua tahun lalu. Walaupun sebahagian mereka menjerit mahu membela Islam kadangkala kelihatan kumpulan ini memang tiada minat meningkatkan kefahaman tentang Islam, kemana mereka dalam kes Qazaf Dato Seri Anwar Ibrahim yang nampak dibiarkan oleh Menteri Agama Umno, Judi sukan dan banyak lagi hal yang saya kira penting untuk dijelaskan kepada awam. Dalam hal Jais-DUMC ini saya kira pandangan beberapa ilmuan Islam seperti Dr Asri juga wajar diberi ruang untuk dibincangkan dan kini peran media sebagai alat mencerahkan manusia amatlah  penting dalam bangsa kita.

Disebalik hinggar binggar isu Jais-DUMC, program semarak Ramadhan terus berjalan rancak walau telah sampai ke 10 hari terakhir Ramadhan. Semenjak Pakatan diberi amanah oleh rakyat dalam pilihanraya umum lepas program masjid dan surau memang lebih bagus dan meriah, jika dahulu tazkirah seolah ‘haram’ kini peringatan agama dan pengembangan ilmu Islam amat rancak di Masjid dan Surau. Malahan zaman BN dahulu surau diarah tutup kerana ada tazkirah tapi kini bukan hanya tazkirah banyak program yang kreatif dan menyegarkan wujud di Masjid / Surau seluruh Selangor, suatu perbezaan yang hanya boleh dinafikan oleh mereka yang buta hati.

 

 

 

 


Lagu Namewee Hina Islam?

namewee-negarakuku.jpg

Kenyataan yang saya keluarkan dua minggu lalu menimbulkan bermacam reaksi. Isu lagu rap Namewee yang berlatarkan lagu kebangsaan juga masih panas dibicarakan. Hari ini dan samalam akhbar utusan dalam ruangan forum/surat pembacanya menyiarkan banyak sekali pandangan melalui surat yang amarah dan seolah-olah adanya pengolahan persetujuan agar Namewee diambil tindakan.

Malam semalam juga di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, saya, Khalid Jaafar, Amin Idris dan Hishamudin Rais terlibat dalam forum anjuran Biro Penerangan Parti Keadilan Rakyat membincangkan hal ini, malam sebelum itu DAP turut membincangkan hal yang sama.

Namewee sedikit sebanyak telah mencetuskan sesuatu, cumanya reaksi dan maklum balas yang dibuat oleh pimpinan politik dan masyarakat, menunjukkan ramai dari kita tidak mahu dan malas untuk berfikir secara waras. Semuanya menunggu guru atau master bicara dan yang lain akan mengekor atau membuntut kata tuan-tuan besar ini. dengan ketutupan media hal ini pasti membenihkan suatu yang tidak matang kerana diskusi dan perbincangan jadi sehala.

Secara mudah ada 4 Mazhab reaksi terhadap lagu Namewee

1. Ambil tindakan/ marah / kecewa kerana menghina lambang negara (lagu kebangsaan)

2. Ambil tindakan/ marah / kecewa kerana menghina agama

3. Jangan ambil tindakan, kerana lambang negara yang di gubah semula oleh Namewee adalah juga satu gubah suai dari mamula moon. Perbincangan mazhab ini akan membenihkan idea kita perlu membiana unsur negara yang baru atau tidak perlu langsung.

4. Jangan ambil tindakan, kerana keresahan Namewee dalam sebahagian isu yang dibangkitkan ada kewajarannya. sebagai warga Namewee berhak bertanyakan haknya untuk dilayan sama oleh negara dan kerajaan.

Dalam forum semalam lagu Namewee telah menimbulkan perbahasan ideologi tentang pembentukan negara. Hisham atau Sham sebagaimana kepercayaanya yang tercatat dalam tulisan-tulisanya menganut faham ke – 3. Ini menimbukan perdebatan dengan Khalid yang beranggapan kita tidak lagi perlu membina lambang yang baru, sebaliknya yang perlu ialah membina semula faham dan makna lamabang dan elemen terbabit.

Bagi saya yang paling mendesak untuk diubati ialah keresahan Namewee. Soal keadilan pemerintah melayan dia sebagai warga, soal polis dan penjawat awam yang tidak efisyen inilah perkara pokok yang harus diselesaikan.

Lagu Namewee adalah satu lagu patriotik, ia cintakan tanahair tapi kalau ikut bahasa Khalid jaafar, cinta namewee pada negara tidak berbalas, bertepuk sebelah tangan. Ini bukan hanya pada Namewee sahaja tepi juga pada teman-teman generasinya yang sebangsa.

Namun dari reaksi beberapa teman terhadap pandangan kenyataan saya sebelum ini, pendangan ke-2, Namewee patut dihukum kerana beliau telah menghina Islam terutamanya bab azan begitu tebal dalam masyarakat Islam.

tiada penjelasan yang lebih baik dari kata-kata Rastom dibawah:

Saya kira ramai yang marah kerana ada kaitannya dengan agama Islam di mana disebutkan hal azan yang sumbang. Tidak ramai yang ambil kisah perihal sumbang atau tidak azan kecuali orang itu tahu mengenai pitching atau tabaqqoh suara. Kerana telinga Namewee adalah telingan seorang pemuzik, maka sumbangnya suara yang diperkuatkan dengan amplifier itu menyentuh jiwa seni.

Teguran ini elok diambil peduli oleh semua petugas mesjid supaya hanya yang benar benar boleh mengumandangkan azan sahaja yang menjadi bilal. Jika tidak boleh berlagu eloksaja azan secara latar, straightforward tanpa dilagukan. Yang penging kalimat azan bukan lagu. Cuba bayangkan orang yang tidak tahu menyannyi mengumandangkan suaranya di mikrofon.


Dari Malaysiakini

Lihat Negarakuku Secara Objektif  (Dari Sidang Media Mingguan Parti Keadilan)

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa agar kontroversi lagu Negaraku yang membabitkan seorang pelajar dari Johor yang kini sedang menuntut di Taiwan, dilihat dari konteks keseluruhannya, daripada terus menyerang dan melabelkan anak muda tersebut sebagai seorang pengkhianat dan musuh negara.Naib Ketua AMK, Amiruddin Shari berkata, AMK melihatnya secara objektif apa yang dilakukan oleh pelajar yang dikenali sebagai Namewee itu “sambil tidak menafikan wujudnya unsur-unsur keterlaluan dan tidak wajar, khususnya penggunaan kata-kata kesat dan kasar”. “Namun begitu, beberapa perkara yang timbul dari bait-bait lirik lagunya itu adalah tanda bahawa anak muda Malaysia mengharapkan sesuatu yang lebih rata dan adil dalam dasar negara,” katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.

Tambahnya, sejarah membuktikan bahawa kritikan-kritikan seumpama itu akan sentiasa wujud dalam pemerintahan yang bersikap keras dan mencengkam kebebasan.”Kecurigaan terhadap pasukan polis adalah perkara lumrah di kalangan rakyat Malaysia dan hal ini telah berlarutan semenjak 1998 lagi. “Oleh itu, (penubuhan) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) adalah sangat mendesak untuk dilaksanakan bagi memulihkan kredibiliti pasukan terbabit,” tambahnya.Dialog antara agama

Dalam hal agama pula, katanya, ia menjelaskan kebimbangan AMK selama ini bahawa kegelisahan agama telah berakar jauh dalam masyarakat dan perlunya dialog dan kefahaman antara agama diterapkan dalam masyarakat.
“Kesimpulannya, kami menyeru agar anak muda ini tidak diambil tindakan, sebaliknya kerajaan dan masyarakat harus dengan segera membetulkan kegelisaan Namewee dan generasinya,” tambah Amiruddin. Beliau juga menggesa Namewee menyertai AMK bagi menyediakan platform untuk dia menyuarakan keprihatinannya itu.

Selain itu, kata Amirudin, AMK Batu Gajah juga akan menawarkan bantuan guaman kepada Namewee sekiranya dia berdepan dengan masalah dengan pihak berkuasa apabila pulang nanti. Sementara itu, Bendahari PKR, William Leong yang hadir sama dalam sidang akhbar tersebut berkata, Namewee tidak mengubah lirik lagu Negaraku, tetapi hanya muzik latarbelakangnya sah.


Mabuk Diskusi & Diskusi Mabuk

Apa yang menarik dan menambat hati aku ke Jalan Telawi, selain suasananya yang senantiasa hidup, disamping aneka pilihan makanan, pakaian, tempat berhibur (semuanya agak mahal) , adalah kawan-kawan yang mabuk diskusi.

Mabuk atau lebih tepatnya juga khayal, berbincang yang dibawah langit juga sampai ke atas sana. Jumaat lalu ada diskusi anjuran IKD, membincang Agenda Ekonomi Baru, yang menjemput ahli akademik dan politik. Agak menarik dan mencerahkan (tetapinya ianya terlalu formal dan mengkakukan), sesudah tamat acara malam itu kira-kira jam 12 sampai jam 5.00 pagi kami berkumpul di Telawi. Ada diskusi lanjut yang lebih lebar dan dalam, yang paling penting santai, pada aku, ianya lebih mencerahkan dan mendebarkan. Ada juga yang tidak faham apa nikmatnya diskusi ini sehingga kami lupa hendak pulang rumah. Hinggalah mereka menuduh kami di awang-awangan, tidak tahu tidur malam (maka tidak produktif), tiada hala tuju dan sebagainya. Nampaknya hanya orang berfikir sahaja tahu nikmat menemukan sesuatu setelah diuji dan ditekan oleh orang lain. Berfikir yang berseorangan boleh menjerumuskan kita pada angan-angan. maka perlunya rakan tanding, lalu jadilah diskusi.

Tak pula rasanya kami ini istimewa, sebabnya masih banyak ilmu harus dikaji dan cari, cumanya kalau salah beritahu mana salahnya, apa yang betul, mana yang silap, bukan terus label dan bingkaikan manusia. Sabtu nanti kami teruskan pesta mabuk diskusi kami dengan diskusi lagu mabuk & dewi, sila lihat bawah;

Apresiasi ‘Mabuk’ dan ‘Dewi’

Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT) dengan hormatnya mengundang anda ke acara diskusi warong seperti maklumat berikut:

Sesi 1
Kritik Seni: Apresiasi lagu “Mabuk” (Spider) dan “Dewi” (Dewa)

Tarikh: 23 Jun 2007 (Sabtu)
Jam: 8 malam
Tempat: Restoran tom yam Bangsar Seafood, Bangsar Utama, KL (depan pejabat Malaysiakini.com & dekat stesen LRT Bangsar)
Pendiskusi: Mazir Ibrahim, pencipta lagu & pemuzik

Sesi 2
Diskusi Buku (Siri 4 & akhir) On the Medieval Origin of the Modern State (karya Joseph Strayer)

Tarikh: 23 Jun 2007 (Sabtu)
Jam: 9:30 malam
Tempat: Restoran tom yam Bangsar Seafood, Bangsar Utama, KL (depan pejabat Malaysiakini.com & dekat stesen LRT Bangsar)

Mesyuarat untuk perbincangan buku berikutnya The Enlightenment (Pencerahan) karangan Dorinda Outram, terbitan Cambridge University Press.

>>> Sila bawa wang RM10 untuk kos fotokopi buku The Enlightenment karangan Dorinda Outram. Buku tersebut boleh dilihat di sini (edisi pertama). Isu-isu yang mahu kita bahaskan daripada buku ini seperti berikut.

Untuk pengenalan awal, pembaca boleh juga melawat blog ini Pencerahan Telawi untuk memahami perkembangan salon Paris, gerakan intelektual Pencerahan edisi Perancis dan politik golongan philosophes.

Sila sebarkan seluas mungkin & iklankan di blog-blog Sdr/ri. Terima kasih.

>>> Maklumat lanjut, e-mel kepada faomar@yahoo.com


Membelah Sentimen Perkauman & Ketutupan

Pandangan saya mengenai buku May 13, tulisan Dr Kua Kia Soon menjana pandangan yang agak meriah. Sebahagian besar mempertikai, secara bertele-tele sehingga ke sampai ke Singapura dan negara asing untuk mempertahan politik diskriminasi tersebut. Saya tidak menyebut hipotesis Dr Kua sebagai muluk, tetapi saya mengajak satu wacana yang bebas dan terbuka untuk kejadian 13 Mei. Ternyata banyak maklum balas yang berjela, mungkin tanpa disedari menyerlah sikap anti-kebebasan, bersendi sentimen chauvanis.

Inilah sebenarnya citra politik Malaysia, politik perkauman-tertutup. Selalu menganggap diluar ruang selesa kita sebagai salah, merosak, jahat dan kejam. Kebebasan menjadi begitu, menyeramkan dan berdosa.

Negara kita akan menjejak umur 50 tahunnya, bagi wilayah timur negara Sabah dan Sarawak pula bakal meraikan tahun ke 44 bersama Malaysia. Sepanjang tempoh ini kita telah melalui detik-detik bermakna yang membentuk citra dan akal budi kita di Malaysia.

Tahun 1969 telah menjadi tarikh penting perubahan lanskap sosio-politik negara. Lantaran kejadian tersebut, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) digubah pemerintah, ianya telah terlalu banyak mencorak landasan politik negara yang mengamal diskriminasi berasaskan kaum, postive discrimination, bilang Dr Mahathir, mempertahankan dasar terbabit. Beliaulah antara yang paling lantang menghentak Tunku Abdul Rahman, supaya lebih melayu dalam polisinya — surat beracun kata Tunku.

DEB & DKK yang berakar dari peristiwa tersebut membentuk corak fikir masyarakat, yang terperangkap dengan kecurigaan pada kaum lain. Bagi melayu bangsa lain tidak boleh diberi muka, peristiwa membawa penyapu dan slogan biadap yang dikatakan menghalau bumiputera keluar dari Malaysia, tidak wajar berulang. Justeru mereka ini kalau diberikan tempat, akan memilih rakan sekaum mereka dan perlahan-lahan akan meminggirkan melayu dari arus perdana. Oleh itu kita kena bantu melayu, melayu dahulu, tidak mengapa jika tidak berdaya saing, tidak berkualiti dan korup. Ianya masih terus-terusan ditanam lebih-lebih lagi dalam propaganda BTN di kursus-kursus mereka.

Bagi kaum lain khususnya tionghua, mereka telah mengalami pengalaman perit ditanah kelahiran mereka, mendapat layanan dasar kerajaan yang kurang memihak seperti bantuan pelajaran dan tempat dalam institusi awam, telah menyebabkan mereka merasa terhimpit. Kehimpitan ini menimbulkan maklumbalas yang berlawanan dan timbulah sentimen keutamaan kaumnya dan membenci kaum melayu. Masalah berbeza pula di Borneo, walaupun mereka dianggap bumiputera, tetapi taraf hidup mereka terus miskin dan merana dan timbullah sentimen anti-federalisme yang kuat menyubur.

Arus Reformasi 98, sedikit sebanyak menyentak kepercayaan ini. Reformasi bermula dengan alasan mendasar, Keadilan dan demokrasi. Tetapi permaksudan reformasi dan terasnya keadilan mula mencapah-capah dan pelbagai. Tidak dapat tidak sebahagianya melanggar sentimen chauvanis kaum- agama. Landasan ini telah menjadikan parti Keadilan dan reformasi bermain diluar rel politik negara. Ini kerisauan besar Umno dan BN.

Cabaran keadilan sebenarnya adalah menguatkan arus ini, arus 1998-1999 yang sering dijulang-julang sebahagian pendokong keadilan sebenarnya ialah arus spontan atau jadi-jadian. Ianya penuh kerencaman, ada sebahagianya akibat kemarahan. Oleh itu arus perjuangan bagi keadilan ialah menjadikannya arus kebebasan-tanpa perkauman-rasional dalam jati diri rakyat Malaysia.


Amir terbit filem Reformasi 1998(mstar)

PETALING JAYA: Tidak serik-serik dengan larangan dua filemnya yang bertemakan komunisme, pengarah muda Amir Muhammad kali ini merancang menerbitkan filem lebih panas bertemakan “Reformasi 1998”, krisis politik nasional susulan pemecatan timbalan perdana menteri waktu itu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berjudul Do You Remember the 20th Day of September? (Adakah anda ingat hari ke-20 bulan September?), filem semi-dokumentari itu akan memuatkan wawancara dengan mereka yang terlibat dalam demonstrasi besar dari Masjid Negara ke Dataran Merdeka, beberapa jam sebelum tokoh itu ditangkap mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Berpuluh-puluh ribu penyokong Anwar berhimpun mendesak peletakan jawatan perdana menteri waktu itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap kepada mStar Online hari ini, Amir berkata walaupun tidak berada di dalam negara pada sepanjang bulan yang bergelora itu, tetapi beliau tiba-tiba berasa “Kuala Lumpur sangat menarik” apabila berlakunya pergolakan politik tersebut.

Katanya, beliau mengikuti perkembangan krisis politik tersebut melalui media massa dan laporan Internet sewaktu menjalankan tugas di Singapura.

Amir berkata beliau sekarang sedang mengumpul bahan, termasuk wawancara langsung dengan mereka yang terlibat dalam peristiwa bersejarah itu, sehingga pertengahan Mei.

“Penggambaran akan mula dibuat penghujung Mei,” katanya.

Pengarah 34 tahun itu menjelaskan, beliau membikin filem ini atas motivasi kreatif dan tidak kena-mengena dengan Anwar atau partinya Parti Keadilan Rakyat.

“Saya tidak pernah berjumpa Anwar. Saya tidak mahu filem ini dinaungi oleh mana-mana parti politik,” katanya apabila ditanya kemungkinan ada pihak mempertikaikan pemilihan masa dan tema itu yang bersifat politik pembangkang.

“Seperti biasa, saya tidak berminat menemubual orang politik,” tambahnya lagi, mengulangi sikapnya dalam dua filem dokumentari terdahulu yang diharamkan, Lelaki Komunis Terakhir dan Apa Khabar Orang Kampung.

Lembaga Penapisan Filem semalam menolak rayuan Amir untuk menerbitkan filem keduanya tentang kisah hidup gerila Parti Komunis Malaya (PKM) selepas mengharamkan bulan lepas. Filem pertamanya diharamkan Mei tahun lepas.

Selain penyokong Anwar dan orang ramai yang berada di tempat kejadian pada 20 September 1998, Amir berkata beliau merancang menemubual anggota-anggota polis, termasuk bahagian Cawangan Khas.

“Bagaimanapun watak utamanya watak rekaan. Jadi, filem ini akan bergerak dari watak rekaan ini dan interaksinya dengan sumber-sumber lain,” katanya.

Lebih kurang 100 orang dijadual ditemubual sebelum menyediakan skrip filem ini.

Ditanya sama ada beliau akan memuatkan wawancara dengan penulis diari reformasi Sabri Zain, Amir berkata beliau telah menulis emel kepadanya tetapi setakat ini aktivis itu belum menjawabnya.

Sabri, yang merakamkan hampir setiap demonstrasi dalam bukunya Face Off: A Malaysian Reformasi Diary 1998-99, kini berada di luar negara.

“Jadi sesuailah dengan semangatnya itu filem ini tidak dilancarkan di sebuah hotel gah, tetapi di ruang siber,” tulis Amir di blog barunya Do You Remember the 20th Day of September? (20september.blogspot.com).

Ditanya sama ada filem-filem cakera padat video tentang reformasi seperti Laungan Reformasi menjadi ilhamnya, Amir berkata “lebih kurang seperti itu tetapi filem saya tidak akan memuatkan propaganda parti politik.”

Amir menambah, beliau merancang menerbitkan filemnya itu pada September tahun ini sebelum tayangan perdana di festival filem Pusan, Korea Selatan pada Oktober.


Otoriti Zaman Gelap

“The information are posted on the blogs by people with no authority. Why you as journalists have to quote a blog website as the source of your story and then publish the news in the newspaper that has authority?” he asked.

“The information posted on the blog website may be something provocative, politically motivated, inaccurate and are mostly rumours floated for the interests of certain parties,” he said.

Ini kata-kata Zam, nama penuhnya Dato` Zainudin Maidin. Menteri Penerangan, bekas wartawan dan pernah menjadi editor akhbar. Secara harfiah kementerian kendaliannya harus membawa keterangan, pencerahan kepada akal budi manusia Malaysia, tapi ia tak jadi begitu, malah acap kali juga mengelapkan dan mengelabukan.  

Dalam abad ke 21 ini, dikira masih releven untuk kita bicara soal sumber yang akurat itu datangnya dari orang yang berotoriti. Dan jika ditanya siapa manusia yang berotoriti itu mungkin Zam dan saya ada beza faham.

Zam mungkin terperangkap dengan perkaataan otoriti itu sehingga sesiapa yang disenanggi oleh otoriti itu adalah orang yang berotoriti untuk bicara, menyampaikan pendapat dan buah fikirnya.

Otoriti zaman sekarang terletak kepada ketepatan, kerasionalan, kesahihan, dan juga masih mengharap kejujuran. Otoriti bukan lagi terletak pada suara rasmi, kerana telah beberapa kali mereka menipu demi sebahagian besarnya mempengaruhi diri mereka sendiri .

Ingat kisah berat sebelah  laporan berita kes Anwar Ibrahim, laporan palsu berkenaan kekalahan Pas di Kelantan pada pilihanraya 2004, pengelapan berita mata lebam Anwar, sigah (tengkolok) salib Tengku Razaleigh.

Makanya otoriti dalam akal Zam adalah otoriti abad ke 16-17, oooo mungkin sebab itu agaknya beliau anti komunis, mungkin juga mahu kembalikan zaman penuh beraja, raja dalam zaman itu adalah segalanya, ia adalah sedikit bawah dari wakil tuhan, katanya adalah peraturan, melawannya bererti derhaka, boleh dihukum apa sahaja. Lalu pengikut setianya akan dapat lencana “manusia otoriti” itu dan ini.  Dan membawa kembali manusia kezaman kegelapan.  Amat berlawan dari nama kementeriannya.


SPM – 24 A, 7 A, 19 A……

Minggu ini minggu cerita A..A..A..A..A, tentang keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Malahan sebelum keputusan rasmi keluar lagi ada menguar-uarkan Nadiah Amira, dari Rengit Johor, bakal mencapai 19 A 1, siap bergambar dengan banting yang berwarna-warni. Mungkin telah siap kontrak buat si Nadiah, untuk memujanya menjadi selebriti sementara, — kopi Nadiah, pensil Amirah, buku nota Amirah, hak cetakan buku panduan belajar Amirah, mungkin dan mungkinlah.

Keputusan keluar semuanya terbalik, anti klimaks tiada pelajar yang layak menerima anugerah pelajar terbaik Malaysia, bunyinya sama seperti selama beberapa tahun tiada anugerah sasterawan negara pada awal alaf baru lepas.

Tiba-tiba, sepertinya suatu yang sarkastik, Utusan Malaysia menampilkannya sebagai menipu — seorang di Perak mengaku mendapat 24 A1, Kelantan pula umum pelajar dari negerinya sebagai terbaik di Malaysia.

Kesimpulannya, ialah masanya orang politik murahan bergambar dengan pelajar terbaik, kerana kelipan cahaya kamera sedang mencari mereka. Samaada pelajar itu pelajar terbaik betul atau pelajar terbaik saduran dan rekon.


Mentaliti Kilang

Saya tidak bermaksud mahu menghina apa-apa yang dikaitkan dengan kilang. Dan sudah pasti tidak mahu juga menafikan sumbangan kilang-kilang yang haram atau sah dalam memajukan pendapatan negara, paling tidak memberikan peluang pekerjaan pada rakyat.

Tapi tiada ungkapan dan konsep lain yang boleh dibayangkan untuk menjelaskan bagaimana sikap sebahagian besar orang & pemimpin kerajaan yang menjangkakan dan beriman pada pendirian semua perkara itu adalah boleh dibuat berasaskan prosedur & langkah yang piawai. Dalam kata mudah ramai percaya kaedah membuat benda (material), boleh juga untuk membentuk manusia, bangsa, negara dan tamadun.

Secara langsung begini; melahirkan tokoh fizik sama dengan membuat kereta yang seimbang berdasarkan hukum-hakam fizik, melahirkan orang yang subur akalnya sama dengan menghidupkan pokok getah yang subur.

Saya tak kata tidak boleh tapi tidak semua, setakat ingin membentuk otot dan fizikal pasti boleh, Malik Maidin, Terjun Kutub, Merentas Kutub, Angkasawan, semuanya boleh, tapi bila perkara yang berkaitan dengan otak, pasti berkecai.

Kalau tak percaya lihatlah bagaimana sarana Dato` Johan Jaafar — lahirkan penerima hadiah nobel menjelang tahun-tahun tetentu, kegilaan universiti menuruti piawai ISO-ISO, dan yang paling gila Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan sasaran 200,000 graduan, Debat 100 jam UiTM -DBP, debat 2-3 hari, panjat Everest dan macam-macam lagi. Perkara sama wujud dengan universiti-universiti lain, hotdog terpanjang, berbasikal jelajah timur-utara dan masak gulai berkawah-kawah.
Kalau akal budi begini diteruskan memang universiti, badan “pemikir” (macam DBP), media dan sektor-sektor strategik dalam masyarakat akan jadi kilang yang lahirkan materi, alat, perkakas mungkin boleh jadi pencacai. Yang boleh diguna atau dibuang juga dibakar.