Selamat Menyambut Ramadhan Kareem Al Mubarak
Alhamdulillah semalam (2 Ogos) telah bermula program Ramadhan di dun Batu Caves dengan solat Isyak dan Tarawilkh di Masjid Jamiatus Solahiah Kg Sg Tua, tahun ini acara di mulakan sedikit lewat kerana saya dan YB Mohamed Azmin Ali mengerjakan umrah hingga 1 Ogos. Namun begitu seminggu sebelum Ramadhan kami telah siap menyerahkan sumbangan kepada semua masjid dan surau di Dun Batu Caves bagi menampung kos program Ramadhan dan melancarkan program Ramadhan Dun Batu Caves yang disempurnakan oleh Pembantu Exco Agama Islam Selangor YB Dr Abdul Rani Osman . Berikut perutusan Ramadhan saya tahun ini :
Ramadhan datang lagi bertemu kita. Sewajarnya kita rafaqkan syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan kuasanya dan rahmatnya dapat kita menemui semula Ramadhan Al Mubarak yang mulia.
Bulan yang menjanjikan ganjaran berlipat ganda terutama bagi mereka yang menjalani ibadah puasa disamping memperhebat amalan-amalan yang baik.
Dalam bulan ini umat Islam diwajibkan menjalani ibadah puasa disiang hari, disamping menpergiat amal soleh seperti bersedekah, menghidupkan malam dengan amalan dan menjaga akhlak perilaku.
Melalui rukun Islam ke tiga ini, umat Islam tidak hanya memperoleh kesan rohaniah sahaja malahan turut meningkatkan faham kebersamaan sesama umat.
Malahan jika kita amat-amati semua rukun Islam mempunyai elemen pemantapan kebersamaan yang mana kita harus dalami setiap nasib rakan seumat. Sebab itu juga ketika masa kita menunaikan puasa umat Islam diwajibkan menunaikan zakat fitrah bagi membantu saudara kita.
Justeru faham kebersamaan ini bukan menjurus kepada kefanatikan dan eksklusif sebaliknya merapatkan jurang perbezaan antara umat Islam dan manusia.
Bagi pihak pusat khidmat Dun Batu Caves sememangnya tidak mahu ketinggalan dalam menambah nilai kegiatan-kegiatan rancak di Masjid Surau sekitar Batu Caves dengan memperuntukan sumbangan khas bagi aktiviti Ramadhan bagi setiap Masjid dan Surau.
Disamping itu pihak pengurusan sambutah Ihya turut menganjurkan berbuka puasa dengan asnaf dan golongan terpinggir bagi memastikan mereka menikmati Ramadhan dengan penuh gembira.
Besarlah harapan kami agar semua peruntukan dan aktiviti yang disusun mampu merancakkan lagi bulan ibadah ini dan mempermudah ramai masyarakat yang ingin mempergiat amalan soleh mereka.
Oleh itu bagi pihak pentadbiran kerajaan negeri dan Pakatan Rakyat ingin mengucapkan Selamat berpuasa & moga ibadah kita diterima dengan ganjaran pahala berlipat ganda
“Ramadhan bulan mulia, bersama kita peroleh Taqwa”
Tinggalkan Jawapan