Universiti diragum oleh penguasa yang gagal faham inspirasi pendidikan
Hari ini saya mengeluarkan kenyataan berkenaan sikap Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khalid Nordin berhubung sikap beliau yang seolah-olah paranoid dengan diskusi buku Barry Wain minggu lalu di Universiti Malaya. Sikap ini menunjukkan kreadibiliti yang rendah beliau terhadap fungsi universiti dan pengembangan diskusi intelek di Malaysia, Malaysiakini.com turut melapor kenyataan saya : berikut kenyataan penuh saya.
……
Amaran Pada UM, Tindakan Khaled Nordin Kebumikan kebebasan Akademik
Angkatan Muda Keadilan (AMK), prihatin dan mengecam tindakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui menterinya, Datuk Seri Khaled Nordin yang mengarahkan Universiti Malaya (UM) menghantar laporan terperinci berikutan program Syarahan Barry Wain, berhubung perbincangan bukunya yang bertajuk “Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times” baru-baru ini.
Kami melihat tindakan tersebut seolah-olah merupakan satu tekanan atau amaran terhadap universiti tertua negara itu dan juga kepada universiti lain yang sekaligus mengkebumikan kebebasan akademik di universiti-universiti Malaysia.
Kebebasan akademik sangat diperlukan bagi menjamin kualiti pendidikan di universiti, bukan hanya untuk memastikan kedudukan universiti naik ditangga universiti terbaik dunia tetapi yang lebih utama ialah melahirkan manusia-manusia yang luwes dan matang yang sekaligus mampu menjadi penyangga kepada kedudukan Negara di masa depan.
Namun tindakan Khaled kelihatan menyemai budaya takut kepada pentadbir,pensyarah universiti dan seterusnya kepada mahasiswa/ mahasiswi dari menyatakan kebenaran dan mengulas sesuatu dari sudut ilmiah dan akademik.
Kebimbangan Khaled, kononnya program tersebut hanya digunakan untuk memburukkan negarawan, Umno dan orang Melayu amatlah dangkal dan bodoh dan seperti mahu menutup kebenaran yang tersembunyi dari buku Barry Wain.
Amat memalukan seorang yang menjadi menteri bagi lembah ilmu menjadi seorang yang begitu anti-ilmu kerana ketakutan politik dan kehausan untuk mengekalkan kekuasaan Umno-BN.
Adalah sangat melucukan perbahasan tentang kandungan buku Barry Wain telah diulas di merata tempat, tetapi ianya seolah dilarang untuk dibahas di dalam universiti.
Bagi kami tindakan ini adalah suatu pengkhianatan kepada masa depan Negara kerana cubaan menutup dan menghalang mahasiswa-mahasiswi tempatan terdedah dengan perdebatan sihat dan menyegarkan.
Amirudin Shari
Naib Ketua
Angkatan Muda Keadilan Malaysia
Tinggalkan Jawapan