Tanggapan & Cerapan Amir Sari

Membantah Sikap Utusan Pada Sultan Selangor

saya serta sahabat teman ahli dewan negeri Selangor telah menyatakan sikap kurang senang terhadap tulisan Awang Selamat yang telah diterbitkan oleh Utusan Malaysia pada tanggal 21 Mac lalu yang boleh ditafsirkan mempertikai keupayaan DYMM Sultan Selangor dalam membuat keputusan untuk tidak hadir dalam Mesyuarat Agung Perkasa. Turut serta YB Dr rani, YB Nik Nazmi, YB Saari Sungib, YB Lau Weng San dan YB Yunos Khairi. Berikut kenyataan yang telah saya bacakan.

—-

Kenyataan Akhbar 23 Mac 2010

Pada 21 Mac 2010, kita dikejutkan dengan tulisan Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia yang mempertikai keputusan DYMM Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj untuk membatalkan kehadiran Baginda ke Mesyuarat Agung Pertama Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).

Istana Selangor telah membuat kenyataan bahawa pembatalan tersebut adalah bagi mengelakkan kontroversi dan manipulasi pihak tertentu. Kami, Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor daripada Pakatan Rakyat ingin membuat kenyataan bantahan kepada sikap biadab yang telah ditunjukkan oleh Awang Selamat dalam tulisannya. Kami ingin bertanya kepada Awang Selamat, siapakah yang dia tujukan kenyataan :

“Usahlah menjadi Melayu di tanah air ini, jika kita terlalu takut dan mengikut telunjuk pihak yang sedangpun menghakis kedudukan Melayu”,

malah beliau juga memainkan sentimen perkauman dengan kenyataan “Kelantangannya (iaitu PERKASA) memperjuangkan kepentingan Islam dan Melayu di bawah kerangka Perlembagaan Negara, mendapat tentangan daripada banyak pihak khususnya bukan Melayu”.

Nampaknya Awang Selamat cuba membayangkan bahawa tindakan beliau dan juga Tun Dr. Mahathir untuk hadir dalam Mesyuarat Agung Pertama PERKASA meskipun mereka sibuk adalah lebih baik daripada keputusan DYMM Tuanku Sultan Selangor yang membatalkan kehadiran Baginda.

Kami ingin memuji keputusan DYMM Tuanku Sultan Selangor dan menggesa semua pihak menghormati keputusan ini. Sesungguhnya dalam hal ini keputusan DYMM Tuanku Sultan Selangor telah membuat satu keputusan bijak kerana Institusi Raja bukan sahaja mengetuai hal ehwal Islam dan adat istiadat Melayu, tetapi juga menjadi Ketua Negeri dan simbol perpaduan.

Sejarah Melayu mencatatkan konsep adil yang menunjangi Institusi Raja melalui kisah perjanjian antara Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba. Kami berpendapat, usaha melibatkan Institusi Raja dalam kancah pergelutan politik dengan tafsiran sempit Perlembagaan adalah satu tindakan yang biadab dan mencemar kemuliaan Institusi Raja-Raja.

Kami juga ingin menegaskan bahawa Perlembagaan mestilah dibaca bersama dengan semangatnya secara holistik dan tidak selektif. Ini kerana Perlembagaan tidak hanya menyatakan persoalan Melayu tetapi juga kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.

Pakatan Rakyat dalam Konvensyennya yang pertama dan diulang pada banyak waktu lain telah berikrar untuk mempertahankan kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa Bumiputera dan martabat Bahasa Melayu sebagaimana tercatat dalam Perkara 153 dan Perkara 152 berasaskan semangat keadilan dan kebebasan yang menjadi nilai tunjang Pemahsyuran Kemerdekaan negara pada 1957 dan diulang semula semasa Pembentukan Malaysia.

Berasaskan semua kenyataan ini, kami ingin bertanya kepada Awang Selamat dan PERKASA di manakah mereka ketika Bahasa Melayu diperlekeh, tanah rezab Melayu kian terhakis dan segelintir politikus Melayu merompak kekayaan negara untuk kepentingan peribadi? Kami juga mahu Awang Selamat dan PERKASA menyatakan kepada semua siapakah yang berkuasa ketika Bahasa Melayu diperlekeh, tanah rezab Melayu kian terhakis dan segelintir politikus Melayu merompak kekayaan negara untuk kepentingan peribadi?

Kami menggesa Awang Selamat agar berhenti ‘melacurkan jurnalisme’ untuk kepentingan pihak tertentu yang sengaja mahu ketidakstabilan antara kaum dan agama terus dipanjangkan dengan bara perkauman. Kami juga ingin mendesak Awang Selamat dan Mingguan Malaysia di bawah milikan Kumpulan Utusan memohon maaf secara terbuka kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor dan rakyat Malaysia seluruhnya di atas sikap biadab dan tidak bertanggungjawab yang ditunjukkan oleh beliau.

Kami akan membentangkan usul di dalan Dewan Negeri Selangor yang akan bersidang bermula 12 April ini bagi mengecam tindakan Awang Selamat dan Kumpulan Utusan. Ini bukan kali pertama Awang Selamat dan akhbar milikan Kumpulan Utusan memainkan isu perkauman dan agama secara melampau. Kami tahu siapa pemilik saham di belakang mereka. Kami ingin menggesa seluruh rakyat Malaysia mengajar mereka dengan memboikot semua terbitan mereka!

Advertisement

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s