Tanggapan & Cerapan Amir Sari

100 Hari Yang Berlalu

Maka 100 hari telah berlalu. Tidak pasti mengapa angka 100 hari ditilik dan di uar-uarkan sebagai detik penentu kepada sesuatu yang baru, di negeri kita, sudah pasti kerajaan baru kendalian Pakatan Rakyat seperti di Selangor dan negeri-negeri selain Kelantan menjadi perhatian dan cerapan. Entah apa akar pertimbangan yang diguna pakai untuk meletakkan 100 hari sebagai kayu ukur sejauh mana kejayaan pentadbiran kerajaan baru menterjemah prinsip dan dasarnya.

Kita anggaplah 100 hari itu telah jadi suatu kepercayaan yang betul.  Dan mari kita membuka ruang perhatian, 100 hari ini bukan hanya untuk Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang sahaja kerana semua negeri sebenarnya turut patut menerima beban 100 hari.

Pasti ada yang menelah ,kerajaan BN tidak perlu ditimbangkan rekod pencapaiannya kerana mereka terpilih atas kepercayaan rakyat dalam pilihanraya umum lepas atas rekod dan garis perjuangan pembangunan-binaan yang dipercayainya. Justeru yang lama itu akan tetap berlangsung sebagaimana biasa dan tidak perlu dinilai. Ini salah. Apa alasan untuk membiarkan sesuatu yang lama dan usang seperti prinsip dan dasar BN berlangsung tanpa dinilai dan diperiksa. Membiarkan sesuatu yang lama tanpa diperiksa adalah bahaya kerana menerbitkan keselesaan (complacent) yang ternyata membuat ramai pihak sebelum ini terkalah dan tunduk akibat tidak mampu menyerap perubahan, apatah lagi politik yang sentiasa dinamik dan berubah-ubah. 

8 Mac 2008, yang dilabel hari tsunami politik bagi BN telah menggiring mereka kepada tempo politik yang selama ini di canangkan oleh Pakatan Rakyat. Kabinet baru pimpinan Abdulah Badawi, di label sebagai kabinet reformasi oleh beberapa media melambangkan adanya cubaan menghiasi pentadbiran penggal ke 12 Kerajaan Persekutuan memenuhi kehendak arus politik reformasi yang meletakkan garis mulia seperti kebebasan, keadilan, prihatin kepentingan rakyat, bersih dan telus.

Menurut khabar arus perdana, gincu dan bedak pewangi reformasi ini turut telah menarik Ezam dan 5-6 orang bekas anggota Parti Keadilan yang sebahagianya telah putar balik ke Umno sejak 2004 lagi untuk bersama pentadbiran Pak Lah.

Selanjutnya menjadikan Ezam menjadi askar prebet berani tempur baru Umno menghadapi arus perubahan yang melanda negara sejak 8 Mac lalu. Lebih spesifik menghadapi Anwar Ibrahim yang jelas lebih berwibawa dan bertenaga jika dibandingkan dengan Pak Lah mahupun Najib. Tidak memeranjatkan  jika diurut serangan-serangan Ezam hanya bertumpu dalam soal merendah-merendahkan keupayaan Anwar Ibrahim tanpa membuka perdebatan prinsip perjuangan dan idea perjuangan. Memang beliau kerap menyebut prinsip perjuangan sebagai alasan menyertai Umno, namun ia tidak disertai dengan hujah dan sering terlontar dalam bentuk retorika yang memang sebati dengan penampilan beliau.

Mampukah Ezam menjadi alat yang terbaik untuk melindunggi kelemahan Paklah dan ke bobrokkan prinsip perjuangan BN ? masih awal dan terlalu jauh lagi perjalanan yang perlu diulas panjang selepas ini. 

Oleh itu, mari kita menelusuri 100 hari pentadbiran Pakatan yang tidak boleh lagi diasingkan dengan 100 hari pentadbiran BN. Semua pihak tidak dinafikan berusaha untuk membuktikan mereka berkualiti dan berwibawa. Pak Lah telah melepaskan sedikit tali cengkaman Badan Pencegah Rasuah (BPR) dengan pengumuman badan tersebut sebagai badan bebas dalam bentuk suruhanjaya. Namun sejarah Pak Lah memang sering menubuhkan suruhanjaya termasuh Suruhanjaya Penambahbaikan Polis yang masih terlalu banyak tidak dilaksanakan. Lagipun BPR masih lagi tidak bebas sepenuhnya dengan tidak lagi bertanggungjawab terus kepada Parlimen. Bagi negeri-negeri Pakatan pula telah menunjukkan usaha mengurangkan potensi rasuah dan penyelewengan dalam pentadbiran. Paling kurang  negeri Selangor dan Pulau Pinang telah mengumumkan tiada kontrak yang dianugerah secara langsung dalam urusan kerajaan negeri. Hal ini telah membuka ruang pimpinan Umno untuk memutar-mutar penghapusan DEB untuk membakar sentimen perkauman.

Di negeri Selangor 100 hari pentadbiran Pakatan kita umumkan beberapa langkah yang pro rakyat seperti Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) dan 20 liter padu air percuma bagi rumah persendirian. Di peringkat pusat BN naikan minyak 78 sen bagi petrol dan 1 ringgit bagi diesel yang menyebabkan harga barang dan perkhidmatan melambung naik. 

Apa lagi, yang hendak dipertahankan BN, usaha reformasi separuh jalan, beban rakyat terus menimbun. Prinsip apa lagi yang diperjuangkan oleh mereka sehingga menarik orang, selain fulus mungkin.   

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s