Janji Keadilan Dengan Rakyat
KUALA LUMPUR, 5 September : KeADILan melancarkan dokumen “Perjanjian KeADILan untuk Rakyat Malaysia” di lobi Parlimen , semalam.
Dokumen tersebut dilancarkan oleh Presiden KeADILan, Wan Azizah Ismail pada jam 11.30 pagi.
Turut bersama beliau semasa pelancaran tersebut ialah Setiausaha Agung KeADILan, Abdul Khalid Ibrahim dan Bendahari Agung, William Leong.
Wan Azizah memberitahu bahawa dokumen itu merupakan satu rujukan bagi bajet kewangan yang akan dibentangkan pada Jumaat ini.
“Malaysia memerlukan suatu pendekatan baru bagi memastikan rakyat menikmati pembahagian kekayaan dengan adil,” katanya.
Menurutnya, walaupun setelah 50 tahun negara mencapai kemerdekaan tetapi hakikatnya daya saing ekonomi negara semakin menurun berbanding negara yang setaraf dengan Malaysia seperti Korea Selatan, Singapura dan Taiwan.
“Kita tidak seharusnya membandingkan dengan negara yang lebih miskin daripada negara kita, sebaliknya perlunya perbandingan negara yang setaraf dengan kita,” jelasnya.
Sementara itu, Abdul Khalid menegaskan bahawa tindakan afirmatif mesti berasaskan keperluan bukan warna kulit dan bantuan perlu ditumpukan kepada golongan berpendapatan rendah.
“Agenda Ekonomi Baru yang diperkenalkan oleh Anwar Ibrahim selaku Ketua Umum KeADILan, akan mewujudkan pendapatan setiap lapisan masyarakat menjadi lebih baik,” katanya.
Beliau memberitahu agenda ini merupakan satu usaha untuk merakyatkan ekonomi.
“Matlamat akhir adalah untuk mewujudkan kelas menengah yang lebih besar dengan mengecilkan kelas atasan dan rendah” jelasnya.
Menurutnya lagi, Agenda Ekonomi Baru ini juga adalah satu usaha menjadikan pengagihan kekayaan negara dilakukan secara adil.
“Apa yang berlaku dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah ketidak samarataan pengagihan kekayaan negara,
sebagai contoh Terengganu dan Sabah kekal antara negeri paling mundur sekalipun mempunyai hasil petroleum,” ujarnya.
Abdul Khalid menegaskan bahawa DEB tidak menghapuskan kemiskinan di mana data peratus rakyat miskin berkurangan sebahagian besarnya disebabkan garis kemiskinan diturunkan.
“Perpaduan juga tidak mungkin dapat diwujudkan melalui pendekatan ekonomi yang menindas satu segmen masyarakat,” tambahnya.
Beliau turut menafikan yang agenda ini merugikan orang melayu kerana rakyat Kelas Menengah dan berpendapatan rendah akan mendapat manfaat sebenar pembangunan dan kekayaan negara tanpa mengira kaum.
“Yang akan rugi hanya kelas atasan Melayu yang memperalatkan status Melayu untuk meraih keuntungan peribadi dan disebabkan perkara inilah golongan elit politik tersebut yang paling kuat menentang usaha ini,” jelasnya.
Willian pula menegaskan bahawa penswastaan juga menyumbang kepada berlakunya jurang kemiskinan yang tinggi dalam masyarakat.
“Kegagalan penswastaan ini diakui sendiri kegagalannya oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF),” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa melalui perjanjian ini pendidikan menyeluruh dan peluang untuk semua akan diperkenalkan.
Di akhir pelancaran dokumen tersebut Wan Azizah berharap rakyat Malaysia akan menerima konsep Agenda Ekonomi Baru ini supaya faedah dan kekayaan negara dapat dinikmati semua.
Katanya, dasar tersebut akan digunapakai jika KeADILan diberi kepercayaan dan peluang untuk menerajui kepimpinan negara dalam pilihan raya akan datang.
Turut hadir dalam pelancaran tersebut ialah Naib Presiden KeADILan Sivarasa Rasiah, Timbalan Setiausaha Agung KeADILan Abdul Halim Mohd Yusof, Ketua Penerangan KeADILan Tian Chua, Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Naib Ketua AMK Amiruddin Shari
Tinggalkan Jawapan