Pemilihan Parti Keadilan & Perpecahan
Sekurang-kurangnya dalam dua bulan kebelakang ini, Parti keadilan Rakyat, tiba-tiba menjadi perhatian media yang selama ini mengelapkan beritanya. Akhbar, laman web berita & majalah, berita televisyen dan cakap-cakap kedai kopi, mula bincang dan bicara tentang Parti keadilan Rakyat, khususnya dalam hal pemilihan dalam kongres keempatnya yang dijangkakan Mei nanti.
Tiga jawatan jadi perhatian Presiden, Timbalan Presiden dan Ketua Angkatan Muda, namun ketiga-tiganya ada jalan cerita dan lingkang lingkuknya yang berbeza.
Jawatan Presiden yang mulanya seperti tiada masalah — Anwar sebagai presiden, mencipta riak kecil bila Abdul Rahman Othman (ARO), bekas Bendahari Agung parti yang meletak jawatan, hujung tahun 2006, telah dicalonkan dibahagian Merbuk sebagai Presiden. Semua yang waras boleh menelah kesudahannya, ia nampak seperti main-main atau mungkin cuba-cuba tarik perhatian oleh ARO atau juga bahagian Merbuk. Tahniahlah kepada mereka kerana dapat perhatian media tapi seperti yang diyakini oleh yang rasional, hujungnya nanti siapa pun tak peduli kan mereka.
Pemilihan Angkatan Muda, agak hebat bahangnya, terutama kepada pelaku dan ahli-ahli yang sedang bermesyuarat, melobi dan mencalon sekarang. Malahan gegar di AMK telah bermula awal, semenjak perletakan jawatan Ezam lagi –hujung tahun lalu.
Berdasarkan penerimaan pencalonan, pemangku Shamsul Iskandar seperti berkelebihan, namun seorang lagi yang dikatakan mendapat sokongan Badrul Hisham Shahrin yang telah meletak jawatan beberapa bulan lalu juga ada bisanya. Apatah lagi nama Ezam Mohamad Nor sentiasa cuba dilekat-lekat dan digandingkan dengan namanya selain modal tokoh demonstrasi yang lekat di label Badrul.
Ada juga suara-suara yang mahu perubahan semua, tidak mahu dan cuba menolak kedua-duanya, membina politik baru kata mereka, tapi nampakmasih tidak begitu popular sekarang. Namun begitu pertarungan ketua Angkatan Muda berpotensi untuk menjadi tiga penjuru dan ahli bakal mempunyai lebih pilihan untuk mengundi siapa ketua baru Angkatan Muda selepas 8 tahun.
Jawatan Timbalan Presiden yang paling meluap panasnya, mula membludak jelas bila Ezam, bekas ketua Angkatan Muda, yang juga sering memukau dengan pidatonya meletak jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Selangor. Bekas setiausaha politik Anwar itu, telah menyarankan agar Dr Syed Husin Ali dikekal sebagai Timbalan Presiden untuk mengekalkan fokus parti kepada Anwar dan pilihanraya. Namun keputusan – keputusan mesyuarat bahagian menunjukkan sehingga kini Azmin Ali, Naib Presiden yang juga bekas setiausaha sulit Anwar masih terus dapat pencalonan yang banyak dan mengalahkan Syed Husin, kerana itu Ezam meninggalkan jawatannya untuk ‘mengajar’ orang yang rakus kuasa katanya. Justeru angin tersebar wujudnya sengketa Ezam – Azmin, inilah puncanya, inilah sebabnya. Inilah yang disebut-sebut dan dipercayai oleh ramai orang dan diputar oleh media massa terhadap pemilihan dan demokrasi keadilan.
Perpecahan & Demokrasi
Tiga pancaran di atas pasti melahirkan tanggapanan ‘perpecahan’ dan kelemahan yang dikatakan tentang Parti Keadilan Rakyat adalah berpunca dari masalah demokrasi– wujudnya pertandingan merebut jawatan parti. Lalu bersorak gembiralah para anti-kebebasan dan munafik-demokrasi yang menjuih dan memperlekeh, inilah bahana kalau kebebasan dan demokrasi yang dibawa oleh reformasi dan parti keadilan dilaksanakan. Perpecahan dan pergaduhan ini menyebabkan keadaan kurang stabil dan parti menjadi lemah. Kalau negara mengamalkan demokrasi kita akan bergaduh dan lemah, ekonomi lembab dan kuasa asing akan menceroboh.
Hujah-hujah inilah mungkin sedang ditiupkan oleh orang-orang KEMAS ataupun pegawai gerakan Jabatan Penerangan dalam sesi penerangan mereka.
Hujah-hujah seperti diatas adalah biasa bagi pengamal diktator, inilah juga yang berlaku di Iraq apabila bom selalu diletupkan menyebabkan terjadinya pembunuhan, negara lemah dan ekonomi jatuh. Lalu mata dan denda tuduhan dilemparkan kepada demokrasi sebagai sumber masalah ini.
Sedangkan nyata dan jelas bom-bom yang diletupkan itu bukan datang dari mereka yang mahu menjalan pilihanraya sebaliknya dari kumpulan militan dan gerila yang tidak akan menang dalam sistem demokrasi yang bebas dan adil. Malahan ada dikalangan mereka dengan jelas mahukan gaya kepimpinan Saddam Husin yang telah menyiksa dan membunuh penentangnya dikembalikan, senada dengan citra bekas Perdana Menteri Dr Mahathir. Kenyataan ini bukan bererti saya menyokong perang Amerika di Iraq, tetapi usaha membawa pilihanraya harus dianggap satu langkah penting perkembangan demokrasi di wilayah terbabit, tentang kaedah masih boleh dibincang dan dibicara panjang yang masih tidak putus.
Mereka yang mencipta letupan dan penculikan ini sebenarnya tidak boleh menerima kebebasan dan demokrasi terlaksana, mereka ini akan cuba menarik balik kepada suasana risau dan takut, kerana mereka percaya aman akan tercipta dengan ketakutan dan juga kerisauan.
Samalah apa yang berlaku semasa 1998-1999 sewaktu perhimpunan-perhimpunan rakyat dibedil oleh polis dengan gas pemedih mata dan pukulan cota, lalu keganasan dan kejahatan dilemparkan kepada rakyat yang turun ke jalan raya menuntut demokrasi dan kebebasan bukan kepada pelakuan ganas anggota simpanan persekutuan (FRU), lalu demokrasi serta kebebasan dianggap benih segala kejahatan dan keganasan.
Memang orang Umno – BN akan pelik dan sinis dengan yang berlaku di keadilan, tetapi mereka tidak akan faham erti semuanya kerana telah diracun teruk dengan duit dan anti kebebasan. Selama 22 tahun Dr Mathathir telah berjaya membayangkan dan mengecap dalam minda orang ramai khususnya ahli-ahli Umno bahawa demokrasi dan kebebasan akan melahirkan kekacauan dengan contoh-contoh kebakaran di demonstrasi dan gambar anak menangis. Sedangkan semua itu lahir dari negara dan kepimpinan yang mengamalkan totalitarian dengan pemusatan kuasa kepada kerajaan.
Sebab itu ramai pimpinan Umno-BN tidak akan faham semakin banyak pilihan, kita akan dapat memilih yang terbaik, kerana selamanya mereka diajar pilihan pemimpin itulah yang terbaik sehingga tidak dapat membezakan antara fitnah atau bukti, tidur atau berfikir, bijak atau menipu, menjaga melayu atau menghina melayu.
Nampaknya gejala anti- demokrasi ini juga sedang hidup merata-rata, tidak hanya pada Umno dan BN. Gejala ini telah secara senyap menghinggapi pejuang demokrasi, hak asasi, kebebasan dan pembangkang. Hujah seperti penumpuan pilihanraya, parti pecah belah dan ahli hilang arah dengan wujudnya pemilihan parti sebenarnya tidak jauh beza dengan hujah tanpa ISA – negara akan huru hara.
Kematangan Demokrasi Keadilan
Demokrasi di Parti Keadilan sebenarnya sedang melalui proses menuju kepada zaman kematangan — mereka yang menang tidak menindas dan yang kalah mahu terus berkerja. Petunjuknya adalah pemilihan-pemilihan lalu, pada tahun 2001 parti terpecah dua, ramai menyepi, ada juga yang melompat ke Umno, tetapi pemilihan 2004 masih ada pertandingan dan nampaknya berkesudahan dengan baik. Segelintir sahaja yang kecewa dan ‘gila’ yang menyepi atau keluar. Selepas itu sehingga sekarang paling kurang parti telah semakin tersusun dan mantap walau banyak lagi yang perlu dilakukan untuk lebih terurus.
Lalu kalau saya ditanya kembali apakah pemilihan dalam keadilan akan memecahkan parti ini, jawap saya — tidak, andai pemimpin dan ahli semakin matang menerima dan menikmati demokrasi, yang keluar dan merajuk itu ternyata masih di kelas tadika demokrasi.
Saya juga teringat perbualan bersama seorang sahabat dari Indonesia, yang sering digambarkan kacau oleh RTM walau sebenarnya ekonomi mereka sedang rancak dan baru-baru ini republik itu baru sahaja mengumumkan mereka telah melunaskan hutang IMF dengan awal. Selepas melepaskan diri dari regim Soeharto, sahabat saya lebih gembira, kerana katanya rakyat telah mula membuka mata dan dapat melihat ada calon lain berkelayakan untuk menjadi presiden Indonesia, tidak seperti zaman Soeharto — hanya dia sahaja nampak berkelayakan. Cuba bandingkan dengan Malaysia, selepas Abdullah memerintah nostalgia Mahathir masih menyelubungi dan terngiang-ngiang semua termasuk penentang diktator itu.
Inilah yang berlaku dalam parti keadilan, semakin banyak calon pemimpin semakin banyak pilihan dan sedang cuba makin lebih matang menerima perlawanan, kekalahan dan kemenangan.
salam reformasi!
Mac 3, 2007 at 8
Salam Menulis!
Mac 4, 2007 at 12
Salam perjuangan, aku kurang setuju dengan pandangan mengatakan bahawa demokrasi telah matang di dalam keadilan. Aku rasa kita kena ajar makna demokrasi kepada pemimpin dan akar umbi supaya mereka tidak lari dari perjuangan apabila tiba-tiba “calculation” politik mereka tumpas. Elok penerangan ambil inisiatif untuk terbitkan beberapa makalah mengenai demokrasi supaya dapat di ambil manfaatnya oleh “anggota” (meminjam kata-kata Syed Husin) keadilan.
Mac 4, 2007 at 11
Terima kasih teman-teman, Soal kematangan masih dalam proses, dan semua pihak bukan semua anggota sahaja, malahan semua pemimpin. Untuk memastikan ianya mengakar, penjanaan perbincangan harus berlaku di peringkat bahagian dan negeri. Kadangkala pemimpin juga tidak faham perjuangan demokrasi, walau selalu jerit dan julang nama demokrasi
Mac 6, 2007 at 5
DEMOKORASI tampaknya satu perkataan tetapi membawa makna yang pelbagai sehingga penafsiran terhadapnya juga pelbagai. Mengapa tidak Syed Husein tidak boleh dicabar ? Walaupun dari segi moral kita perlu menghormati orang yang lebih tua dan ‘ seniour ‘ daripada kita dan saya sememangnya kurang bersetuju Azmin untuk menjadi timbalan pada masa kini tetapi sekirannya beliau berjaya menjadi timbalan melalui demokrasi yang sihat apa salahnya ?
Dalam politik unsur seniouriti tidak harus menjadi persoalan. Yang penting seseorang itu harus berwibawa , berkebolehan , berkarisma dan boleh berjuang untuk rakyat jelata. Sesiapa sahaja boleh dicabar termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya kurang bersetuju bahawa fokus kita adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim. DSAI hanyalah merupakan seorang insan dan merupakan salah seorang ahli dalam PKR.
Beliau bukan segala-galanya dan tidak seharusnya diberi penekanan 100%. Hal ini demikian PKR merupakan parti rakyat dan bukannya DSAI. Kalau penekanan dan difokuskan kepada DSAI sahaja maka sekiranya DSAI sudah tiada lagi 30-50 tahun dari sekarang maka PKR akan lenyap bersamanya ?
PKR memperjuangkan untuk negara dan rakyat.. DSAI tidak seharusnya menjadi fokus utama sehingga lari dari perjuangan yang sepatutnya. Sesiapa sahaja boleh dicabar!!!
Mac 6, 2007 at 11
betul…DSAI hanya seorang insan dlm PKR.dia bakal wafat,sebagaimana kita juga satu hari nanti.tetapi dalam sisa-sisa hidupnya yang masih berbaki,adalah lebih baik kita memanfaatkan kudrat dan karismanya untuk memimpin keADILan agar masa depan Malaysia boleh digarap dalam lanskap yang lebih segar.
keADILan bukan parti Anwar,tetapi kita jangan lupa,derita anwar melahirkan keADILan hasil dari gelodak amarah rakyat yang membuak-buak.untuk mengubah nasib Malaysia,pastinya kita memerlukan karisma kepemimpinan yang tinggi.di sini Anwar tampil mengisi ruang.
kita perlu akui keADILan bukan parti yang kukuh kalau ingin dibandingkan dengan PAS,juga DAP.tetapi sokongan rakyat kepada susuk tubuh Anwar Ibrahim membezakan keADILan daripada mana-mana parti dalam konteks sokongan massa.dalam keadaan keADILan tidak kuatlah maka kita perlukan karisma kepemimpinan yang jitu,dan saya kekal menegaskan Anwar adalah insan yang mesti kita fokuskan.
Ya,anwar boleh dicabar..tidak ada masalah.tetapi biarlah cabaran yang datang itu datangnya daripada mana-mana calon yang punya kredibiliti,mampu menyatukan kepelbagaian latar belakang dalam keADILan dan mampu memupuk solidariti di kalangan pembangkang.tapi kalau ada calon yang dikemukakan hasil amarah segelintir pemimpin yang marah kerana hilang jawatan,kita sebagai manusia yang matang boleh menilai wajar atau tidak kita pertimbangkan..kalau ada calon yang pernah mengkritik parti tanpa asas dan sebab musabab yang jelas,wajarkah kita redha dengan pencalonan seumpama ini? anggota keADILan bijak menilai. saya kira bukan persoalan menghalang mana-mana manusia dicalonkan sebagai presiden selain anwar,tetapi saya tetap menegaskan..biarlah manusia itu lebih berkeupayaan dan mampu menguntungkan parti,bukan menjahanamkan.
kita perlu peka,menobatkan Anwar sebagai presiden besar impaknya pada keADILan sendiri.sebab itulah fokus ini,yang dijelaskan oleh Sdr Ezam di dalam majlis retreat di Corus Hotel mesti dipandang serius.skrg kita pilih,apakah kita mahu keADILan menjadi kuat, ataupun kekal lesu dengan mainan politik busuk sesetengah manusia di dalam keADILan yang hanya menjadikan keADILan sebagai medan luah amarah.
demokrasi dalam parti mesti dijulang,supaya semangat demokrasi ini akan memberi impak positif kepada parti untuk berhadapan dgn BN di dalam pilihanraya akan datang.bukan sebagai medan untuk menjahanamkan parti.
saya bukan taksub Anwar,tetapi kita jangan nafikan dalam senario politik dalaman keADILan dan juga senario politik Malaysia secara keseluruhannya,beliau adalah remedi kepada senario-senario ini. sebab itu kita perlu memanfaatkan ruang yang ada untuk membentuk kekuatan dalaman dengan menobatkan pimpinan yang berkeupayaan, baik dari segi karisma dan juga kredibiliti kepemimpinan.dan Anwar kekal menjadi fokus buat masa ini.apabila beliau dinobatkan kelak,maka menjadi tanggungjawab beliau terus memperkukuhkan parti.tetapi,kalau beliau gagal,maka beliau juga tidak akan terlepas daripada terlucut daripada jawatan andai anggota keADILan merasakan beliau tidak boleh memimpin lagi.
demokrasi dalam parti adalah untuk mematangkan,bukan menjahanamkan. biarlah kita berhujah secara realistik, bukan semata-mata idealistik dengan anutan pemikiran yang kadang kala indah dari susunan kata,tetapi mustahil dicerap minda.
Selamat Berkongres buat keADILan.
Mac 11, 2007 at 12
Persaingan terlalu sebati dalam politik dan perniagaan sehingga kita cenderung ‘to take it for granted’. Kita anggap semua orang tahu apa yang kita maksudkan dengan pertandingan, dan persaingan. Meskipun pertandingan sering mencetuskan keprihatinan bukan segelintir pihak (terutama cara apa pertandingan itu dimainkan), dalam politik dan perniagaan, persaingan dan pertandingan merupakan pendekatan terbaik dalam menangani pelbagai bentuk transaksi.
Tentunya persaingan politik disadur unsur ‘dark side’ dan itu, sadly or fortunately, suatu kenyataan. Malah terma-terma teknikal yang ujud kamus politik mendedahkan adanya hubungan sumbang diantara politik dan tempur. Perkataan kongres contohnya diambil dari kamus Roman ‘congressus’, yang bermaksud ‘combat’.
Mengenai pemilihan KeADILan, pencakaran politik dan persaingan dalam rangka ‘demokrasi’, salah seorang dari teman wanita saya (seorang kafir) melontar soalan:
“If Jesus or Mohamed (saw) had been a rugby player, would he have charged someone in order to score a touchdown?”
Heh..
Jangan lupa AFUNDI saya! ehehehe
Mac 11, 2007 at 12
Anak Muda, semanagt kepercayaan kepada demokrasi sebagaimana yang saudara tuliskan, saya setuju. Namun begitu kita perlu bergerak untuk masa depan dan masa sekarang. Dua beban ini perlu disudahkan oleh keADILan untuk memastikan proses reformasi dan perubahan berjalan dengan lebih lancar.
Anwar tetap jadi fokus, tetapi saya setuju dengan Shen Yee Aun, bahawa perjuangan dan pemikiran Anwar harus ditolak seiring atau kadang kala perlu lebih jauh diketengahkan dari karismatik dan aura Anwar Ibrahim.
Anak muda harus berfikiran kedepan, lihat kehadapan dan yakin membentuk masa depannya. Jangan asyik tengok ke lantai, nanti terlanggar tiang.
Mac 12, 2007 at 10
sdr amirsari,terima kasih atas pandangan.
saya kira perlu saya jelaskan yg fokus yg ditekankan oleh saya di atas adalah fokus di dalam kongres,bukan fokus perjuangan secara keseluruhannya.proses demokrasi dalam parti adalah ibarat proses penyucian parti untuk melangkau ke satu tahap yg lebih kuat dari sebelumnya.nah,di sini saya melihat anwar perlu dinobatkan sebagai pimpinan de jure,bukan sekadar de facto.
saya bersetuju,kita perlu terus memandang ke hadapan.sebab itulah saya percaya kita perlu memupuk keupayaan segenap ruang yang mungkin.dan untuk berjaya di masa hadapan,perlu bermula pada masa sekarang.
saya tetap menegaskan yang saya,yang saya juga percaya ramai di kalangan kita, bukan taksub anwar.tetapi dalam keperluan menggarap kekuatan,harus dimulakan oleh beliau.dan kita tidak boleh menafikan yang bebanan tidak hanya digalas di pundak beliau,sebaliknya kita lebih terbeban sebagai pemacu perjuangan di masa depan.
saya percaya kepada analogi idealisme anwar itu ibarat biji benih yang ditanam.subur atau tidak pastinya bergantung kepada kuasa Tuhan melalui cahaya dan pengudaraan.paling penting wujud inisiatif untuk mnyuburkan,pastinya melalui baja dan air.dan kitalah yang menggalas tangungjawab itu untuk menyemai,membaja dan menyiram benih itu.jika tidak sekental mana pun benih itu,pasti kecut di makan tanah.
fokus pada anwar hanya sebagai pelengkap,agenda utama kita kekal rakyat.selagi batang tubuhnya dilihat rakyat sebagai remedi,maka perlu kita manipulasi situasi ini untuk memberi political advantage kepada kita.Saidina Uthman Affan pernah berkata ‘kekuasaan boleh merubah sesuatu’.
saya tidak asyik melihat lantai,tapi khuatir tersandung batu.justeru perlu seimbang memandang ke depan dan peka apa yg ada di lantai,supaya selamat sampai ke destinasi.
Mac 15, 2007 at 2
Fokus utama di Kongres sepatutnya lebih kepada pilihan raya yang akan datang. Kita seharusnya fokus bagaimana hendak melahirkan beratus – ratus Anwar dalam Parti dan bukannya beri penekanan kepada seseorang individu yang belum pasti lagi menjadi aset atau liabiliti kepada parti. Anwar kini pun belum tentu akan diberi peluang untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang. Adalah lebih membanggakan kalau 10 orang PKR menang dalam pilihan raya daripada Anwar seorang menang dan yang lain kalah.
PKR bukan party ” one man show “.
Kalau betul – betul kita hendak pandang ke hadapan maka kita harus mencari iktibar bagaimana hendak memperkukuhkan parti sama adanya Anwar atau tidak. Hal ini disebabkan Anwar tidak mungkin dapat bersama- sama PKR untuk selama – lamanya. Pelbagai cara perlu dicari untuk melahirkan lebih banyak pemimpin yang setaraf dengan aura ,kewibawaan dan kehebatan Anwar.
Keperluan menggarap tidak semestinya dimulakan Anwar. Kekuatan sesuatu parti harus dimulakan oleh setiap AHLI dari A hingga ke Z maka pada masa itu dengan adanya Anwar atau tidak parti tetap kuat dan terus maju ke hadapan. Kita tidak seharusnya melihat perjuangan yang suci dan ikhlas sebagai suatu bebanan. Perjuangan tersebut merupakan hikmat daripada tuhan demi kebaikan.
Kalau hendak bercucuk tanam maka tanamlah beribu – ribu tumbuhan – tumbuhan yang kuat daripada kita fokus kepada sebuah pokok yang sememangnya sudah amat kukuh dan kuat walaupun tanpa sesiapa untuk membajanya. Setinggi – tinggi sebuah pokok juga akan ditebang atau layu suatu hari nanti tetapi kalau bunuh mana – mana tumbuh – tumbuhan masih ada lagi beribu – ribu yang masih hidup. Siramlah air . Membajalah. Menjaga dengan baik – baik supaya tumbuh – tumbuhan yang dilhasilkan sihat , cantik dan kuat. Jangan pula ada yang lain ditanam lain yang dia hasilkan.
Fokus kepada RAKYAT JELATA itu seharusnya menjadi pelengkap utama PKR. Kalau sekadar batang tubuhnya dilihat rakyat sebagai remedia kita pula manipulasi rakyat disebabkan hendak menang dari segi politik demi kepentingan diri maka apa manfaatnya ? Maka bagaimana pula kalau rakyat sudah tidak lihat DSAI sebagai pelengkap ? 1999 BA menang besar kerana DSAI hangat pada masa itu. 2004 kalau dengan teruk disebabkan DSAI sudah tidak sehangat 1998. Kini 2007 kini belum tentu dapat ramalkan rakyat masih mengganggap DSAI sebagai remedi.
Persoalan sama ada anwar merupakan aset ataupun liabiliti kepada kita pun belum tahu lagi.
Rakyat yang harus diutamakan. Wujudnya politik disebabkan rakyat. Rakyat harus diberikan penekanan. Semasa pilihan raya kalau menang pun akan disebut wakil rakyat kerana perkataan tersebut menggambarkan kepada kita bahawa seseorang pemimpin yang dilantik itu harus memperjuangkan hak , kepentingan dan kebajikan rakyat.
Adalah lebih baik kita berdiri tegak dan pandang lantai di hadapan sekali gus daripada jalan sekali pandang lantai sekali.
KEKUASAAN BOLEH MERUBAH SESUATU memang betul tetapi kuasa itu tidak seharusnya diletakkan ke atas seseorang. Kalau begitu sudah disebut sebagai diktaktor. Kuasa itu tidak mungkin dapat dihasilkan dengan hanya seorang insan di dunia ini. KUASA yang digeruni ialah kuasa yang terdiri daripada beratus , beribu atau berjuta – juta orang yang menyumbang kepadanya.
DSAI tetap merupakan pemimpin yang sudah mencipta sejarah di tanah air. Beliau memang hebat. Itu tiada sesiapa yang dapat menafikannya. Daripada kita terus sebab ANWAR ANWAR ANWAR. Lebih baik kita beri fokus kepada rakyat jelata , parti , kesemua pemimpin di parti , ahli – ahli dalam parti baharu DSAI.
Saya setuju Amir Sari bahawa pemirkiran DSAI tidak harus dikaitkan sebagai permikiran PKR. Setiap orang ada ideologi dan cara perjuangan yang berlainan. Banyak udang banyak garam. Banyak orang banyak ragam.
Kalau kita pergi ke sekolah belajar cikgu ajar 1 + 1 = 2 maka tidak mungkin begitu rigid hafal 1 + 1 = untuk selama – lamanya. Hal ini disebabkan cikgu itu tidak mungkin bersama kita buat selama – lamanya. Sebab tiba – tiba soalan bagi 2 + 2 kita pula kena tanya cikgu apa itu . Itu pun cikgu itu masih ada. Tetapi kalau kita belajar teknik bagaimana hendak mendapatkan jawapan 2 daripada soalan 1 + 1 maka kalau soalan berubah kepada 100 + 1000 pun kita akan dapat jawapannya tanpa cikgu berada di sisi kita.
Yang harus kita fokus DSAI pun bukannya orangnnya tetapi cari berpolitiknya , berpidato dan sebagainya.
Salam perjuangan
Mac 15, 2007 at 3
Pingback: SHEN YEE AUN TEGAK DI PERSADA NUSANTARA » Blog Archive » Komentar Saya Terhadap Pandangan Shamsul Iskandar Di Blog Amir Sari