Archive for 18 Mei 2007
13 Mei Harus Jadi Hak Awam
Tarikh ini seperti tidak banyak makna, tanpa Mei ianya menjadi angka “suwey” bagi kepercayaan sesetengah orang, tapi bagi Malaysia memberi terlalu banyak erti khususnya, kesan kejadian pada tarikh tersebut di tahun 1969 telah membenihkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) & Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK).
Dua dasar tersebut telah banyak mengubah lanskap sosio-politik Malaysia. Ditambah perisa oleh dasar tidak demokratik Dr Mahathir, hari ini kita sedang menuai hasilnya, agak menakutkan dan juga menyeramkan. Prejudis kaum dan agama yang berpanjangan dalam sanubari dan mula menunjukkan riak apinya.
Pagi 13 Mei 2007 , bersempena tarikh tersebut, Dr Kua Kia Soon antara pengasas badan pembela hak asasi, Suaram melancarkan buku terbarunya yang dikatakan sebagai koleksi bahan-bahan yang terselindung dalam fakta 13 Mei 1969.

Buku ini menambahkan versi punca kejadian 13 Mei. Tunku Abdul Rahman Putra, dan versi rasmi kerajaan yang mengaitkan peristiwa 13 Mei menjalar dari perarakkan Parti Gerakan dan DAP selepas kemenangan luar biasa Gerakan dan DAP juga pembangkang lain disamping hasutan dan kerja bawah tanah Komunis. Kali ini Kua berdasarkan beberapa laporan diplomat dan wartawan asing menyebut ianya adalah mainan politik kapitalis melayu yang mahu mengguling Tunku Abdul Rahman. Ini adalah suatu kudeta lebih kurang begitu maksud Kua Kia Soon.
Versi ini agak memeranjatkan, ada juga yang tidak setuju, tapi yang menyedihkan tindakan kerajaan khususnya kepada 3 senator yang membangkitkan cadangan mengharamkan buku ini. Saya juga masih tidak yakin hujah Kua, tapi langkah merampas dan cubaan mengharamkan (lihat di malaysiakini) buku ini juga adalah tindakan haram bagi sebuah negara demokratik.
Pagi tadi saya bersama teman-teman Fathi, Hasmi, Ammar, Anam dan Firdaus juga bersama teman-teman lain Wakil CIJ, Lee Ban Chen, Lee Khai Loon (Y4C) telah membuat kenyataan media membantah tindakan tersebut.
Bagi saya 13 Mei telah menyebabkan kita tertawan (tertakluk) dengan dasar perkauman yang menyakitkan realiti kehidupan kita hari ini. Kejadian 13 Mei harus dibuka dan disebutkan secara yakin, yakni fakta dan cerita yang sebenarnya harus didedahkan. Bukan sebagai jembalang yang menakutkan orang yang mahu bersuara sedikit berbeza dengan norma. Ia bukan hak rasmi kerajaan ia hak awam.
Kenyataan Media KsJT
18 Mei 2007
Bantahan terhadap Rampasan Buku tentang 13 Mei
Rampasan buku ‘May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of
1969’ karangan Dr Kua Kia Soong oleh pihak Kementerian Keselamatan
Dalam Negeri beberapa hari lalu sangat memprihatinkan kami.
Apatah lagi terdapat desakan daripada beberapa pihak di Dewan Negara
agar buku ini diharamkan.
Langkah-langkah seumpama ini bukan sahaja boleh dianggap tidak
demokratik, tetapi juga tidak mempunyai sikap yang beradab dalam kehidupan
masyarakat yang terbuka dan menghargai perbezaan pandangan.
Kami berasa sangat kesal terhadap tindakan seumpama ini yang kami
anggap sudah ketinggalan zaman.
Walaupun topik “rusuhan kaum 13 Mei” sering dikatakan isu sensitif
tetapi ia tidak wajar ditutup daripada dibincangkan secara terbuka. Usaha
menyemak semula fakta-fakta sejarah dan memberikan tafsiran-tafsiran
baru berdasarkan kajian terkini haruslah sentiasa digalakkan, bersesuaian
dengan perkembangan arus maklumat dunia dan ke arah mematangkan bangsa
Malaysia yang kini berusia 50 tahun sejak merdeka.
Kami berpendapat, masanya sudah tiba untuk masyarakat Malaysia
membahaskan isu-isu sejarah seumpama ini agar ia boleh dijadikan tauladan dan
sempadan kepada kita bagi mengorak langkah membina bangsa Malaysia yang
bersatu, progresif, berbudaya ilmu dan bertoleransi.
Kami juga bimbang, selagi isu “rusuhan 13 Mei” tidak dibuka untuk
dikaji dengan mendalam, dan selagi ia enggan dibincangkan secara ilmiah
seumpama buku ‘May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of
1969’, maka tragedi malang ini akan selama-lamanya boleh diperalatkan
untuk menimbulkan buruk sangka dan keresahan antara kaum di negara ini.
Selama ini, ingatan “13 Mei” sering diperalatkan oleh orang politik –
baik pemimpin parti kerajaan atau pemimpin parti pembangkang — dan
juga kumpulan-kumpulan Islam setiap kali apabila muncul perbahasan tentang
isu-isu yang melibatkan pergeseran kepentingan kaum dan agama.
Tanggal ’13 Mei” telah dijadikan momok, telah dijadikan lembaga jahat,
untuk menakut-nakutkan orang ramai daripada membahaskan isu-isu penting
tertentu. Tarikh “13 Mei” telah disebut-sebut sebagai amaran, khususnya
kepada kaum bukan Melayu dan penganut agama bukan Islam.
Sebab itu, kami yang bertandatangan di bawah, yang sebahagian besar
kumpulan aktivis, penulis, seniman, dan wartawan muda Melayu berasa
terpanggil agar isu “13 Mei” dibenarkan dibincangkan secara terbuka, ilmiah
dan tenang.
Sekian, terima kasih.
13 comments Mei 18, 2007