Archive for Mei 2007
Seusai Kongres

Kongres Parti keadilan Rakyat, baru sahaja selesai, bersamanya juga dua tiang parti keadilan; Angkatan Muda dan Wanita dapat melaksanakan kongres dengan selamat dan berjaya melaksanakan pemilihan dalam parti. Demokrasi terus subur dalam keadilan.
Seperti biasa tekanan yang diterima oleh Parti keadilan memang cukup getir, Majlis Perbandaran Seremban, tidak membenarkan syiar parti seperti bendera, poster dan banting di pamerkan kepada umum. Inilah demokrasi ala Malaysia yang cukup melucukan dan memalukan. Namun laporan akhbar ada sedikit peningkatan, tapi masih dibayangi laporan yang tidak seimbang.
Kongres kali ini menampakkan Keadilan telah mula menerima budaya pertandingan dengan waras. Walau masih berlaku kempen dan usaha mengelakkan pertandingan kerana bimbang berlakunya perpecahan, lebih-lebih lagi dengan tanda-tanda pilihanraya umum ke 12 semakin jelas. Namun sebagai parti yang cuba melatih pertandingan yang matang dan sihat, pimpinan parti meneruskan juga pemilihan.
Hasilnya agak baik, nampak ada usaha dikalangan perwakilan dan mereka yang bertanding cuba menerima kemenangan dan kekalahan dengan tenang. Dan permuafakatan telah berjaya dibentuk paling tidak 80% kadarnya. Nampak lebih bermakna selepas berkempen dan bertanding yang menang dan kalah dapat dimuafakatkan. Inilah beza Keadilan dengan parti lain.
Inilah yang pernah saya sebutkasn sebagai salah satu budaya politik baru yang cuba dibawa oleh Keadilan dan reformasi. Kerajaan sering menuduh pembangkang tiada kerja lain selain membantah dan membangkang. Saya akui wujud juga budaya itu, membantah dan membangkang tidak tentu arah, namun perlu juga ditanya kembali kepada kerajaan apakah layanan dan sikap mereka kepada pembangkang baik.
Kalau hendak buat kongres atau mesyuarat pun ditegah dengan bermacam helah, permit dilarang, nak berkempen dalam pilihanraya perlu permit polis, dan berbaris-baris lagi yang tak perlu disebutkan lagi, ini menunjukkan sikap kerajaan lebih tidak berguna dan jijik. Mereka teleh menghimpit oposisi dan yang tidak sebulu kedinding dan mengatakan mereka ini tidak berguna.
Selepas kongres juga menampakkan harapan pemerintah untuk melihat pengaruh Anwar luntur juga musnah, walau Pendaftar Pertubuhan (ROS) digunakan untuk melarang Anwar aktif
Anwar telah mengulangi lagi komitmenya, dan pimpinan pusat telah mula memanggilnya sebagai ketua, selain Dr Wan Azizah sebagi presiden, Kini hanya terletak kepada jentera keadilan untuk dengan seberapa segera menyiapkan diri menghadapi pilihanraya.
Bagi AMK memang banyak perlu dilakukan, lebih-lebih lagi Shamsul, sebagai ketua AMK yang baru telah menyatakan komitmennya untuk menyebar dan promosi bukan hanya batang tubuh dan karisma Anwar tetapi membincangkan lontaran ideanya di peringkat bawah. selain memperkukuh jawatankusa akar umbi, negeri dan pusat agar lebih kompeten.
Ini satu lagi cabaran yang besar, yang perlu digendung oleh AMK dan parti.
2 comments Mei 28, 2007
13 Mei Harus Jadi Hak Awam
Tarikh ini seperti tidak banyak makna, tanpa Mei ianya menjadi angka “suwey” bagi kepercayaan sesetengah orang, tapi bagi Malaysia memberi terlalu banyak erti khususnya, kesan kejadian pada tarikh tersebut di tahun 1969 telah membenihkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) & Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK).
Dua dasar tersebut telah banyak mengubah lanskap sosio-politik Malaysia. Ditambah perisa oleh dasar tidak demokratik Dr Mahathir, hari ini kita sedang menuai hasilnya, agak menakutkan dan juga menyeramkan. Prejudis kaum dan agama yang berpanjangan dalam sanubari dan mula menunjukkan riak apinya.
Pagi 13 Mei 2007 , bersempena tarikh tersebut, Dr Kua Kia Soon antara pengasas badan pembela hak asasi, Suaram melancarkan buku terbarunya yang dikatakan sebagai koleksi bahan-bahan yang terselindung dalam fakta 13 Mei 1969.

Buku ini menambahkan versi punca kejadian 13 Mei. Tunku Abdul Rahman Putra, dan versi rasmi kerajaan yang mengaitkan peristiwa 13 Mei menjalar dari perarakkan Parti Gerakan dan DAP selepas kemenangan luar biasa Gerakan dan DAP juga pembangkang lain disamping hasutan dan kerja bawah tanah Komunis. Kali ini Kua berdasarkan beberapa laporan diplomat dan wartawan asing menyebut ianya adalah mainan politik kapitalis melayu yang mahu mengguling Tunku Abdul Rahman. Ini adalah suatu kudeta lebih kurang begitu maksud Kua Kia Soon.
Versi ini agak memeranjatkan, ada juga yang tidak setuju, tapi yang menyedihkan tindakan kerajaan khususnya kepada 3 senator yang membangkitkan cadangan mengharamkan buku ini. Saya juga masih tidak yakin hujah Kua, tapi langkah merampas dan cubaan mengharamkan (lihat di malaysiakini) buku ini juga adalah tindakan haram bagi sebuah negara demokratik.
Pagi tadi saya bersama teman-teman Fathi, Hasmi, Ammar, Anam dan Firdaus juga bersama teman-teman lain Wakil CIJ, Lee Ban Chen, Lee Khai Loon (Y4C) telah membuat kenyataan media membantah tindakan tersebut.
Bagi saya 13 Mei telah menyebabkan kita tertawan (tertakluk) dengan dasar perkauman yang menyakitkan realiti kehidupan kita hari ini. Kejadian 13 Mei harus dibuka dan disebutkan secara yakin, yakni fakta dan cerita yang sebenarnya harus didedahkan. Bukan sebagai jembalang yang menakutkan orang yang mahu bersuara sedikit berbeza dengan norma. Ia bukan hak rasmi kerajaan ia hak awam.
Kenyataan Media KsJT
18 Mei 2007
Bantahan terhadap Rampasan Buku tentang 13 Mei
Rampasan buku ‘May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of
1969’ karangan Dr Kua Kia Soong oleh pihak Kementerian Keselamatan
Dalam Negeri beberapa hari lalu sangat memprihatinkan kami.
Apatah lagi terdapat desakan daripada beberapa pihak di Dewan Negara
agar buku ini diharamkan.
Langkah-langkah seumpama ini bukan sahaja boleh dianggap tidak
demokratik, tetapi juga tidak mempunyai sikap yang beradab dalam kehidupan
masyarakat yang terbuka dan menghargai perbezaan pandangan.
Kami berasa sangat kesal terhadap tindakan seumpama ini yang kami
anggap sudah ketinggalan zaman.
Walaupun topik “rusuhan kaum 13 Mei” sering dikatakan isu sensitif
tetapi ia tidak wajar ditutup daripada dibincangkan secara terbuka. Usaha
menyemak semula fakta-fakta sejarah dan memberikan tafsiran-tafsiran
baru berdasarkan kajian terkini haruslah sentiasa digalakkan, bersesuaian
dengan perkembangan arus maklumat dunia dan ke arah mematangkan bangsa
Malaysia yang kini berusia 50 tahun sejak merdeka.
Kami berpendapat, masanya sudah tiba untuk masyarakat Malaysia
membahaskan isu-isu sejarah seumpama ini agar ia boleh dijadikan tauladan dan
sempadan kepada kita bagi mengorak langkah membina bangsa Malaysia yang
bersatu, progresif, berbudaya ilmu dan bertoleransi.
Kami juga bimbang, selagi isu “rusuhan 13 Mei” tidak dibuka untuk
dikaji dengan mendalam, dan selagi ia enggan dibincangkan secara ilmiah
seumpama buku ‘May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of
1969’, maka tragedi malang ini akan selama-lamanya boleh diperalatkan
untuk menimbulkan buruk sangka dan keresahan antara kaum di negara ini.
Selama ini, ingatan “13 Mei” sering diperalatkan oleh orang politik –
baik pemimpin parti kerajaan atau pemimpin parti pembangkang — dan
juga kumpulan-kumpulan Islam setiap kali apabila muncul perbahasan tentang
isu-isu yang melibatkan pergeseran kepentingan kaum dan agama.
Tanggal ’13 Mei” telah dijadikan momok, telah dijadikan lembaga jahat,
untuk menakut-nakutkan orang ramai daripada membahaskan isu-isu penting
tertentu. Tarikh “13 Mei” telah disebut-sebut sebagai amaran, khususnya
kepada kaum bukan Melayu dan penganut agama bukan Islam.
Sebab itu, kami yang bertandatangan di bawah, yang sebahagian besar
kumpulan aktivis, penulis, seniman, dan wartawan muda Melayu berasa
terpanggil agar isu “13 Mei” dibenarkan dibincangkan secara terbuka, ilmiah
dan tenang.
Sekian, terima kasih.
13 comments Mei 18, 2007
Kenapa BN Mahu Keadilan & Anwar Terpadam Dari Sejarah
![]()
Berkuburnya Keadilan atau juga disebut berakhirnya PKR dan Anwar. Minggu lalu topik ini menjadi tajuk kegemaran media Malaysia. Sebagai melanjutkan “analisis” pilihanraya kecil Ijok jangkaan kematian Keadilan dan kehilangan pengaruh Anwar menjadi pilihan dengan alasan undi BN meningkat dalam pilihanraya tersebut walau Anwar turun banyak kali ke Ijok dan kempen paling hangat juga bermatian-matian pembangkang. Dengan juga memadamkan beberapa kenyataan, beza kenaikan undi keadilan dan Bn hanyalah kira-kira 200 undi sahaja sedangkan belanja BN mencecah hampir 100 juta, 1111 hilang dari daftar pemilih, pertambahan pengundi baru yang mencurigakan, kehadiran orang mati mengundi, keganasan gerak gempur Pemuda Umno dan berbagai-bagai lagi taktik umum BN.
Semua parti oposisi pernah kalah dalam jeda antara pilihanraya ke 11 hingga pilihanraya ke 12 ini. Namun Ijok adalah peluang paling besar untuk BN, Umno dan sekutunya menutup telinga dan fikiran rakyat (khususnya melayu) terhadap Parti Keadilan, Anwar Ibrahim dan sebenarnya lebih jauh lagi gagasan reformasi. Serangan luar biasa ini, telah memukau sebahagian rakyat dengan olahan “futuristik” Zam, RTM, TV3, Utusan, Berita Harian dan konco-koncunya. Tak mengapa bagi mereka bagi Cina dan bangsa lain untuk tahu, tapi nehii untuk Melayu.
Kalau dituruti sejarah, layanan kerajaan kepada PKR selalu tidak menyebelah. Ini kerana bukan Keadilan tidak berdaftar atau membuat aktiviti surversif, tapi mereka melihat Reformasi, Keadilan dan Anwar Ibrahim tidak lagi bermain dengan tema dan lenggok politik perkauman dan anti demokrasi amalan BN. Kenyataan ini amat ditakuti dan tidak dapat diterima oleh BN dan pemegang ideologi rasis dan ketutupan seperti mereka. Sebahagian besar darinya adalah mereka yang duduk di jawatan tinggi kerajaan. Mungkin juga pimpinan SPR berfikrah sedemikian. Agaknya lah.
Sebab itu mereka akan cuba menutup pintu segalanya, termasuk laporan mesyauarat agung, dasar, permit akhbar, ceramah kerana langkah politik yang dimulai pada reformasi telah membuka gelanggang baru politik Malaysia. Semua bangsa telah mula menyedar akan pentingnya keadilan, kebebasan dan demokrasi. Amalan perpecahan perkauman tidak lagi laku.
Namun sebenarnya mereka telah mengali lobang baru untuk menutup lobang. Sebelum ini mereka black-out keadilan dan Anwar dari media, namun ceramah Anwar tetap ramai kunjunganya selain serangan di internet dan dunia siber, Anwar telah menyubur ke bawah, mereka terpaksa menutupnya dengan membalas, dan pintu lain terbuka. Jadi kepada Zam teruskan menyerang.
Add comment Mei 9, 2007
Sesudah Ijok
Agak lama tidak mengarang, semuanya gara-gara Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri, Ijok. Bermula dengan hari-hari sebelum penamaan calon sehingga cuti Hari Pekerja barulah dapat melepaskan urusan yang berkaitan dengan Ijok.
Perkara yang sudah memang telah berlalu. Tapi ianya masih punya banyak cerita yang dilalui sepanjang kempen di Ijok. Akan cuba di ungkapan berdikit-dikit mulai esok, Tapi ada beberapa perkara bermain di minda
1. Parti Keadilan & Anwar Ibrahim adalah yang paling digeruni pemerintah dan BN akan cuba mematikannya dengan apa jua cara
2.SPR mati maruah dan kreadibiliti.
3.Pemuda Umno jadi tempat latih gangster
4.RTM melengkapkan usaha membodohkan rakyat (khususnya Melayu)
akan diulas satu persatu
4 comments Mei 3, 2007