Archive for April 2007
Bersedia Ke Ijok
Dalam minggu ini Ijok menjadi tajuk penting khususnya untuk cakap-cakap politik. Ijok bakal menyaksikan pilihanraya kecil setelah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dato` K Sivalingam, meninggal dunia di Chennai India.
Semalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Keadilan Rakyat telah menetapkan akan bertanding di Ijok. Teman-teman pembangkan Pas & DAP juga telah menyatakan sokongan untuk membantu KeADILan dalam pilihanraya kecil Ijok.
Malam semalam (15 April 2007) Angkatan Muda telah melancarkan Skuad Keadilan Selangor, di Ijok dan sekaligus menunjukkan api sepak mula pilihanraya yang tertanda dengan pada tarikh 19 April ini telah berkelip. Sebelum itu pada sebelah petang Pemuda BN juga telah mengumpul dari seluruh negara pasukan jerit mereka untuk menandakan mereka telah sedia gempur.
Marilah ke Ijok melawat, menikmati pertembungan demokrasi dan duit.
Pelancaran Jentera AMK Pilihanraya Ijok & Skuad Keadilan Selangor
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat dengan kerjasama AMK Negeri Selangor akan mengadakan majlis pelancaran Jentera Pilihanraya Kecil Ijok & Skuad Keadilan Selangor mengikut maklumat berikut
Tarikh: 15 April 2007
Masa: 8.45 malam
Tempat : Bilik Gerakan Parti Keadilan Rakyat Ijok
No 2 Simpang 4, Ijok
(Rumah Haji Miskun)
Majlis tersebut dijangka akan diisi dengan ceramah utama dari Azmin Ali (Naib Presiden & Pengerusi Biro Pilihanraya ) dan Tan Sri Dato Khalid Ibrahim (Pengerusi Perhubungan Negeri Selangor).
Selain itu Sdr Shamsul Iskandar, Pemangku Ketua Angkatan Muda bersama Exco-Exco Angkatan Muda Pusat & Selangor akan turut berucap untuk memulakan gerak kerja rasmi AMK dalam pilihanraya kecil Ijok.
Kami Juga menjemput seluruh rakyat khususnya disekitar kawasan Ijok dan Selangor untuk bersama menjayakan majlis ini.
Sekian terima Kasih.
Amirudin Shari
Timbalan ketua Penerangan
Angkatan Muda Keadilan
Machap: BN menang, majoriti merosot 481 undi (mstar)
ALOR GAJAH: Barisan Nasional menang besar kali ini berdepan DAP dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap tetapi jumlah majoritinya merosot sebanyak 481 undi.
Calon Barisan, Lai Meng Chong mendapat 5,533 undi, menewaskan calon DAP Liou Chen Kuang yang hanya meraih 1,452 undi.
Bagaimanapun majoriti 4,081 yang diperolehi Lai hari ini menurun berbanding calon Barisan dalam pilihan raya umum 2004, mendiang Datuk Wira Poh Ah Tiam sebanyak 4,562.Berikut keputusan lengkap:
Jumlah pengundi: 9,623
Lai Meng Chong (BN): 5,533
Liou Chen Kuang (DAP): 1,452Jumlah mengundi: 7,151
Peratus: 74.3
Undi rosak: 166
Majoriti: 4,081Penyandang: Datuk Wira Poh Ah Tiam (BN)
Undi diperolehi: 5,847 (pilihan raya 2004)
Majoriti: 4,562
Sebelum keputusan rasmi itu diumumkan, dalam satu sidang media, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Kamaruzaman Mohd Noor berkata sebanyak 74.22 peratus pemilih keluar mengundi di semua 19 saluran di lapan pusat mengundi apabila ditutup pukul 5 petang tadi.
“Ini adalah peratusan mengundi yang amat tinggi dalam satu-satu pilihan raya kecil.
“Ia cuma perbezaan kecil jika dibandingkan peratusan mengundi pada pilihan raya umum 2004 sebanyak 74.33 peratus (dari 9,889 pengundi),” katanya kepada pemberita di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi pilihan raya kecil berkenaan di Kompleks Japerun Machap.
Beliau berkata analisis SPR mendapati golongan warga emas yang mengundi di saluran satu mencatat peratusan mengundi yang paling tinggi iaitu sebanyak 80 peratus.
Katanya pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Menggong mencatatkan peratusan pengundian paling tinggi sebanyak 85.5 peratus, manakala peratusan pengundian paling rendah dicatatkan di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Machap sebanyak 51.4 peratus.
Pada pandangan SPR, katanya, tiga faktor utama menyumbang kepada peratusan mengundi agak tinggi iaitu kerjasama erat antara jentera parti Barisan Nasional (BN) atau DAP yang pergi ke setiap lokaliti di lapan kawasan mengundi bagi membantu pemilih menjalankan tanggungjawab masing-masing.
Faktor kedua ialah peningkatan tahap kesedaran di kalangan pengundi untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing dan faktor cuaca cerah, katanya.
Beliau berkata SPR juga ingin melahirkan penghargaan kepada polis yang berkawal dan menjaga keselamatan sehingga tiada kejadian tidak diingini berlaku.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Poh pada 15 Mac lepas.
Pemilih berdaftar DUN Machap terdiri daripada 45 peratus pengundi Cina, 38 peratus Melayu, 15 peratus India dan dua peratus kaum lain.
Daripada jumlah itu, 9,515 adalah pemilih awam manakala 108 lagi adalah pemilih pos.
Apakah kematangan boleh di tunggu
Kematangan demokrasi suatu yang ditunggukan atau ianya suatu yang diusahakan?
Diayakini Jawapan pilihan ramai ialah untuk berusaha, tapi bila berdepan persoalan harian terkadang kita menjadi tidak karuan dan terbawa-bawa romantis silam.
Persoalan diatas masih lagi berligar dan tidak terjawap oleh sebahagian pimpinan dan ahli Parti Keadilan Rakyat yang dikatakan dan mengatakan mereka sebagai pendukung reformasi.
Reformasi yang tergetus 8 tahun lalu telah meletakkan demokrasi sebagai antara 8 tiang utamanya sebagai garis perjuangan, ini diucapkan dengan yakin oleh Anwar Ibrahim dalam deklarasi Permatang Pauh yang semakin dilupakan, walaupun ianya begitu penting, sekurang-kurangnya bagi saya. Lapan perkara tersebut, adalah rangkuman dasar penyelesaian kemelut bangsa kita, untuk menghadapi hari muka.
Kini Keadilan, sekali lagi sedang berhadapan denganya, untuk membuktikan suatu yang diucapkan dan diperjuangan selama ini adalah betul dan wajar.
Ada melihat pertembungan yang sengit dipelbagai peringkat ini bersama meluasnya permainan politik, gertakkan, kempen buruk – memburuk dan semuanya yang tidak difahami oleh bukan orang politik (macam isteri saya) sebagai tanda kita perlu tawakuf (menangguhkan) amalan demokrasi. Bimbang parti hancur kerana sengketa sesama kita, lalu musuh datang menyerang dan kita tertawan.
Dengan harapan bila semuanya matang, kita akan amalkan, kita akan rayakan, kita akan sambut dan nikmati, DEMOKRASI. Jalur fikir ini sebenarnya senada dengan akal budi yang dilontar dan dipasukkan kepada kita oleh pemerintah dan yang empunya kuasa — kita belum matang menerima kebebasan, justeru “masih” haram kebebasan bersuara, kebebasan media, kebebasan ekspresi, kebebasan berorganisasi dan kebebasan berhimpun. Sambil disulami kebimbangan perkauman — ianya menjadi hantu yang begitu menakutkan.
Benar sepanjang 8 tahun ini keadilan telah menerima calar-calar dengan pemergian dan pembisuan beberapa individu, selepas timbul perbezaan atau pemilihan. Namun itu tidak bererti demokrasi sebagai puncanya. Puncanya ialah ketidaksediaan menerima perbezaan, dan ketidakmatangan menerima kekalahan dan kemenangan.
Kalau kita berundur dan menangguhkan perkara yang kita perjuangkan, saya kira kita semakin merebakkan budaya tidak baik dan ketidakmatangan dalam pengamalan demokrasi, dan ini adalah praktis biasa pada diktator dunia. Dengan hujah mereka kebebasan adalah perlu tapi……………..yang tidak berpenghujung.
Perkembangan tamadun dunia adalah suatu yang melebar (horizontal) bukan (menunjang) ventrikal, kerana kita bukan pokok kelapa sawit. Oleh itu memang kita akui tiada yang sempurna dalam apa-apa termasuk demokrasi, yang perlu ialah membaiki kesilapan-kesilapan yang dikesani melalui pengalaman bukan ditunggu-tunggu.
Jangan sebab sakit di mata maka dipenggal leher. Atau sebab banyak berlaku kes pelanggaran kereta maka kereta harus dibakar dan dibuang kelombong.
Anwar & Masa Depannya

Anwar Ibrahim dan masa depannya (politik) kembali jadi perbincangan.
Hal ini terus muncul dalam diskusi politik kerajaan & pembangkang. Tapi kali ini lebih meledak, mungkin kebetulan seiring dengan tempias gelut pemilihan dalam Parti keadilan Rakyat yang mana beliau dicalonkan sebagai Presiden. Ada pihak melihat Anwar goyah, kerana sokongan padanya tidak solid, tidak 100% . Tapi kalau dari sisi lain inilah tanda budaya baru politik di Malaysia – yang telah lemas dengan budaya kediktatoran. Hanya diktator sahaja mengharap sokongan 100% sebagaimana Saddam suatu ketika dulu, atau Castro di Cuba.
Pernah perkara halatuju Anwar jadi topik penting, sejurus beliau keluar dari Sungai Buloh, Umno, Pas, Keadilan, negarawan tanpa parti, Ngo Antarabangsa, atau pencen, pilihan-pilihan ini berteraburan, membuatkan penyokong, simpatisanya dan sudah pasti ahli politik gelisah. Bagi kawan-kawan lama dalam Umno, saat itu menghisap rokok pun tidak tenteram dan ada juga yang telah membeli “insuran” dengan menghubungi Anwar samada secara langsung atau berkirim.
Paling terkini dan agak langsung perbincang tentang halatuju Anwar muncul dalam tulisan Fathi yang diterbit mstar. Sebelum itu Ahmad Lutfi Othman, editor Harakah, telah beberapa kali ‘mengertak’ Anwar agar lebih serius mengepalai pembangkang, dalam satu tulisan beliau juga melihat Dr Mahathir telah pelan-pelan mengambil tugas Anwar, menerjang Abdullah Badawi, Anwar perlu lebih tegas dan berani. Lutfi seakan mahu Anwar melepaskan sisa-sisa belas pada Pak Lah dan terus mematikan spekulasi ada “deal” antara Anwar dan Abdullah-Umno, pandangan Lutfi bukan berseorangan, beberapa kelompok dalam Pas memang ada sedikit curiga itu, terutama pengalaman 1982 sentiasa menghantui, walaupun telah berulang Anwar mengatakan dalam program tertutup dan terbuka, tidak ada niat untuknya menyertai Umno.
Saari Sungip (bukan ayah saya walau beliau pun jawa) — gurau, maaf Pak Abu, dalam satu temuramah di Harakah bermain kata-kata dengan menganggap Anwar sudah tiada masa depan, sebaliknya masa Anwar ialah sekarang. Namun kata-kata Pak Abu itu pasti boleh dihidu sebagai protes kecil kepada Anwar, sebagaimana gurauan Lutfi tadi.
Perbincangan tentang masa depan Anwar ini, sebenarnya tanda beliau masih penting dalam politik Malaysia. Meski “Mike Tyson” menganggap Anwar sudah tidak releven untuk dipertimbangkan dalam politik Malaysia. Cumanya takut-takut tanpa disedari perbincangan ini mengelamunkan dan tidak sihat jika terus berpanjangan. Kerana mungkin akan menyeret kita semua bergayut di bawah beliau, tidak lagi pada persoalan dan idea perubahan yang digerakkannya.
Kita perlu segera bertanyakan, perjuangan kukuh kerana Anwar, atau Anwar kukuh kerana perjuangan. Reformasi hidup kerana Anwar, atau Anwar hidup kerana Reformasi.
Fikir dan teruskan usaha, nanti kalau sampai masanya, (bukan sekarang) boleh kita bersama Anwar, mencari siapakah Nehru bagi Ghandi Malaysia.