Archive for Mac 2007

Keyakinan pada akal sihat

Meneliti beberapa komen dari teman berkenaan entri saya sebelum ini bersaing bukan berlawan dan pemilihan keadilan & perpecahan . Dalam itu juga bertemu dengan shabat-sahabat berkenaan laporan  dari mstar yang juga disiar oleh malaysia-today berkenaan pencalonan Anwar Ibrahim, menguatkan apa yang terlintas di kepala saya.

Tanggapan dan komentar teman-teman mengambarkan harapan yang begitu mendung , cita-cita yang saya suguhkan dalam tulisan-tulisan itu sebagai suatu yang utopia, diawang-awangan, tidak real dan yang seerti denganya seperti yang selalu dilontar-buang pada kawan-kawan jalan telawi. Namun begitu tiada siapa yang berani menyanggah keperluannya. Saya menyangka inilah kemelut yang sedang digeluti masyarakat Malaysia, sindrom tidak percaya pada apa yang difikirkannya. Terus terang, saya juga merasainya sekali-sekala dan masih cuba melawannya.

Sindrom ini juga telah dilapik dengan perkataan-perkataan yang membara dan dilaungkan kuat-kuat seperti malaysia boleh, hidup melayu, reformasi, takbir, hancur yahudi dan mungkin malaysian first.    Secara formal mungkin dimulai  semenjak 1982. Selama 22 tahun kita telah melalui corak pemerintahan  Dr Mahahthir yang menanamkan gejala ini, melalui polisi anti kumpulan pendesak serta penutupan suara rakyat di ruangan strategik masyarakat (media, mahasiswa dan pekerja).

Dalam masa yang sama ajaran agama diunjukan ke arah yang semakin sempit, penurunan kualiti pendidikan, penanaman sentimen kaum dan tidak lupa kealpaan semasa kemegahan ekonomi.  

Elemen-elemn itu telah menggelapkan hati dan otak masyarakat. Justeru pada saya jawapanya bukan hanya tukar pemerintahan, tetapi pencerahan dalam minda masyarakat. Pencerahan yang mengagaskan agar mereka percaya dengan apa yang di fikirkan oleh akal sihat dan tidak begitu bergantung dengan otoriti. Dengan itu masyarakat dan nilai buruk yang menular seperti rasuah, penyelewengan, kekasaran dan ketidaktamadunan dapat dikikis.

Namun politik kekuasaan masih tetap salah satu jalannya, Agenda atau gagasan pencerahan ini bukan hanya pada laungannya saja (sepere aude), tapi harus bermula dengan asasnya iaitu berfikir dengan akal sihat dan yakinlah. Supaya nanti jangan ia menjadi satu lagi laungan dan jeritan.        

3 comments Mac 27, 2007

Amir terbit filem Reformasi 1998(mstar)

PETALING JAYA: Tidak serik-serik dengan larangan dua filemnya yang bertemakan komunisme, pengarah muda Amir Muhammad kali ini merancang menerbitkan filem lebih panas bertemakan “Reformasi 1998″, krisis politik nasional susulan pemecatan timbalan perdana menteri waktu itu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berjudul Do You Remember the 20th Day of September? (Adakah anda ingat hari ke-20 bulan September?), filem semi-dokumentari itu akan memuatkan wawancara dengan mereka yang terlibat dalam demonstrasi besar dari Masjid Negara ke Dataran Merdeka, beberapa jam sebelum tokoh itu ditangkap mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Berpuluh-puluh ribu penyokong Anwar berhimpun mendesak peletakan jawatan perdana menteri waktu itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bercakap kepada mStar Online hari ini, Amir berkata walaupun tidak berada di dalam negara pada sepanjang bulan yang bergelora itu, tetapi beliau tiba-tiba berasa “Kuala Lumpur sangat menarik” apabila berlakunya pergolakan politik tersebut.

Katanya, beliau mengikuti perkembangan krisis politik tersebut melalui media massa dan laporan Internet sewaktu menjalankan tugas di Singapura.

Amir berkata beliau sekarang sedang mengumpul bahan, termasuk wawancara langsung dengan mereka yang terlibat dalam peristiwa bersejarah itu, sehingga pertengahan Mei.

“Penggambaran akan mula dibuat penghujung Mei,” katanya.

Pengarah 34 tahun itu menjelaskan, beliau membikin filem ini atas motivasi kreatif dan tidak kena-mengena dengan Anwar atau partinya Parti Keadilan Rakyat.

“Saya tidak pernah berjumpa Anwar. Saya tidak mahu filem ini dinaungi oleh mana-mana parti politik,” katanya apabila ditanya kemungkinan ada pihak mempertikaikan pemilihan masa dan tema itu yang bersifat politik pembangkang.

“Seperti biasa, saya tidak berminat menemubual orang politik,” tambahnya lagi, mengulangi sikapnya dalam dua filem dokumentari terdahulu yang diharamkan, Lelaki Komunis Terakhir dan Apa Khabar Orang Kampung.

Lembaga Penapisan Filem semalam menolak rayuan Amir untuk menerbitkan filem keduanya tentang kisah hidup gerila Parti Komunis Malaya (PKM) selepas mengharamkan bulan lepas. Filem pertamanya diharamkan Mei tahun lepas.

Selain penyokong Anwar dan orang ramai yang berada di tempat kejadian pada 20 September 1998, Amir berkata beliau merancang menemubual anggota-anggota polis, termasuk bahagian Cawangan Khas.

“Bagaimanapun watak utamanya watak rekaan. Jadi, filem ini akan bergerak dari watak rekaan ini dan interaksinya dengan sumber-sumber lain,” katanya.

Lebih kurang 100 orang dijadual ditemubual sebelum menyediakan skrip filem ini.

Ditanya sama ada beliau akan memuatkan wawancara dengan penulis diari reformasi Sabri Zain, Amir berkata beliau telah menulis emel kepadanya tetapi setakat ini aktivis itu belum menjawabnya.

Sabri, yang merakamkan hampir setiap demonstrasi dalam bukunya Face Off: A Malaysian Reformasi Diary 1998-99, kini berada di luar negara.

“Jadi sesuailah dengan semangatnya itu filem ini tidak dilancarkan di sebuah hotel gah, tetapi di ruang siber,” tulis Amir di blog barunya Do You Remember the 20th Day of September? (20september.blogspot.com).

Ditanya sama ada filem-filem cakera padat video tentang reformasi seperti Laungan Reformasi menjadi ilhamnya, Amir berkata “lebih kurang seperti itu tetapi filem saya tidak akan memuatkan propaganda parti politik.”

Amir menambah, beliau merancang menerbitkan filemnya itu pada September tahun ini sebelum tayangan perdana di festival filem Pusan, Korea Selatan pada Oktober.

3 comments Mac 23, 2007

Bersaing Bukan Berlawan

Dalam kesibukan Parti keadilan, melalui detik-detik pertandingan timbul lagi persoalan samaada boleh bertanding atau tidak perlu bertanding. Perbincangan seumpama itu masih dikira jauh dari sewajarnya, dan bagi saya kalau benar-benar keadilan dan reformasi mahu pergi lebih jauh meninggalkan politik lama–politik sempit agama, kaum, kasta, adu domba dan khianat, perbincangannya sekarang ialah bukan soal halal-haram bertanding malahan bukan kenapa perlu ada perlawanan, tetapi apakah agenda untuk parti dan negara dari mereka yang bertanding dan bersaing.

Barulah politik kita politik idea dan makna, bukan lagi soal remeh temeh, persetujuan kelompok, kesetiaan, taklid, fulus, pribadi dan sewaktu denganya yang diamalkan oleh Umno.  

Sebab itu bila saya dilontar soalan dari seorang teman ” mahu lawan abang ke?” jawap saya “bukan lawan tapi bersaing”. Kerana selain politik sempit makna perlawanan dalam politik ramai yang sering beriman pada faham  ”semuanya” – non or all. Ertinya  kalah bererti mati, dijajah dan hilang tulang belulang. Menang pula membawa makna besar, tindas, pijak dan semuanya.    

Aktivis dan ahli parti Keadilan perlu jelas mana hendak dilawan bagi saya yang perlu dibenteras ialah  citra politik “semuanya” selain politik sempit kaum, idealogi, agama dan lain-lain.

Suka juga saya bergurau ” saing” dalam loghat kelantan bermaksud kawan. Oleh itu teman-teman jangan takut, kawan bukan lawan.  

4 comments Mac 23, 2007

Otoriti Zaman Gelap

“The information are posted on the blogs by people with no authority. Why you as journalists have to quote a blog website as the source of your story and then publish the news in the newspaper that has authority?” he asked.

“The information posted on the blog website may be something provocative, politically motivated, inaccurate and are mostly rumours floated for the interests of certain parties,” he said.

Ini kata-kata Zam, nama penuhnya Dato` Zainudin Maidin. Menteri Penerangan, bekas wartawan dan pernah menjadi editor akhbar. Secara harfiah kementerian kendaliannya harus membawa keterangan, pencerahan kepada akal budi manusia Malaysia, tapi ia tak jadi begitu, malah acap kali juga mengelapkan dan mengelabukan.  

Dalam abad ke 21 ini, dikira masih releven untuk kita bicara soal sumber yang akurat itu datangnya dari orang yang berotoriti. Dan jika ditanya siapa manusia yang berotoriti itu mungkin Zam dan saya ada beza faham.

Zam mungkin terperangkap dengan perkaataan otoriti itu sehingga sesiapa yang disenanggi oleh otoriti itu adalah orang yang berotoriti untuk bicara, menyampaikan pendapat dan buah fikirnya.

Otoriti zaman sekarang terletak kepada ketepatan, kerasionalan, kesahihan, dan juga masih mengharap kejujuran. Otoriti bukan lagi terletak pada suara rasmi, kerana telah beberapa kali mereka menipu demi sebahagian besarnya mempengaruhi diri mereka sendiri .

Ingat kisah berat sebelah  laporan berita kes Anwar Ibrahim, laporan palsu berkenaan kekalahan Pas di Kelantan pada pilihanraya 2004, pengelapan berita mata lebam Anwar, sigah (tengkolok) salib Tengku Razaleigh.

Makanya otoriti dalam akal Zam adalah otoriti abad ke 16-17, oooo mungkin sebab itu agaknya beliau anti komunis, mungkin juga mahu kembalikan zaman penuh beraja, raja dalam zaman itu adalah segalanya, ia adalah sedikit bawah dari wakil tuhan, katanya adalah peraturan, melawannya bererti derhaka, boleh dihukum apa sahaja. Lalu pengikut setianya akan dapat lencana “manusia otoriti” itu dan ini.  Dan membawa kembali manusia kezaman kegelapan.  Amat berlawan dari nama kementeriannya.

Add comment Mac 21, 2007

Memorandum Desakan AMK Kepada Dato Seri S Samy Vellu

Tujuan pembinaan lebuhraya secara asasnya adalah untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan di negara kita. Dengan itu faedah lebuhraya seharusnya memberikan kemudahan dan kesenangan kepada rakyat agar proses perjalanan mereka menjadi lebih baik dan urusan-urusan dapat berjalan dengan lebih lancar dan cepat.

Namun begitu pembinaan lebuhraya di Malaysia telah menjadi mimpi ngeri kepada pengguna kerana kadar tol yang membebankan dan juga dicurigai menjadi lubok kepada 2-3 kerat manusia yang mengaut keuntungan dan faedah yang melampau melalui perjanjian-perjanjian konsesi lebuhraya yang berat sebelah dan tidak menguntungkan rakyat. Perkara ini sedikit sebanyak telah didedahkan dengan penemuan pemimpin pembangkang terhadap perjanjian konsesi tol lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan AMK baru-baru ini berkaitan dengan kadar tol dalam perjanjian konsesi Lorong SMART telah menimbulkan beberapa perkara yang masih tidak dijawab oleh pihak tuan:

1. Pihak Menteri Kerjaraya masih gagal mengesahkan kewujudan perjanjian konsesi lorong SMART sepertimana yang didedahkan oleh AMK pada sidang akhbar 28 Februari 2007.

2. Apakah kadar tol Lorong Smart yang rasmi? Mengikut salinan perjanjian yang kami terima kadar tol bagi lorong tersebut adalah RM 2.00.

3. Jika kadar itu dikurangkan – dari manakah kerajaan akan mendapatkan subsidi untuk menampung kos yang telah dipersetujui ?

4. Adakah perjanjian tol boleh di klasifikasikan sebagai OSA sehingga menghalang pihak awam mengetahuinya ?

5. Apakah pihak Menteri Kerja Raya mempunyai kepentingan dengan perjanjian ini sehingga sanggup menggadaikan kepentingan rakyat ?

Dato’ Seri S Samy tidak lagi perlu bermain dengan kata-kata untuk menutup kecurigaan yang berlegar berkaitan perjanjian konsesi tol lebuhraya dengan mengaitkan perjanjian tersebut kepada kabinet mahupun undang-undang Akta Rahsia Rasmi (OSA). Dua pendedahan berkaitan isi perjanjian Tol Lebuhraya Smart dan Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), yang dibuat oleh AMK dan pimpinan pembangkang sebelum ini telah menyingkap sedikit sebanyak isi perjanjian yang jelas tidak memberikan keuntungan kepada rakyat mahupun kerajaan.

Malangnya Dato’ Seri S Samy Vellu sebagai Menteri Kerja Raya yang seharusnya bertanggungjawab atas isu yang dibangkitkan tidak menjawab isu yang timbulkan. Sebaliknya beliau telah membuat ugutan melalui OSA dan juga mengelak soalan wartawan dengan mengaitkan keputusan kabinet atas persetujuan perjanjian. Pihak kami juga menuntut janji Menteri Kerja Raya supaya segera mendeklasifikasikan kesemua perjanjian tol yang sehingga kini masih tidak dimaklumkan kepada masyarakat.

Pendedahan perjanjian tersebut amat penting untuk memastikan agar proses “check & balance” benar-benar berlangsung dalam sistem demokrasi Malaysia. Malahan perjanjian tersebut melibatkan wang rakyat yang banyak — dengan kewajipan mereka membayar tol setiap kali melalui lebuhraya.

 Sekian, Terima Kasih.

Angkatan Muda Keadilan Parti Keadilan Rakyat

Add comment Mac 20, 2007

Keberanian Ala Khairy

Semalam terdengar lagi kata-kata Khairy Jamaludin yang disampaikan dengan penuh semangat.  Kali ini beliau melampiaskan marahnya kepada pengkritik projek terjun  kutub utara Putera Umno.

Beliau mengatakan bahawa sekurang-kurangnya anak-anak Putera Umno yang bakal terjun di kutub ini, ini berani menunjukkan keberanian mereka untuk menghargai kemerdekaan, tidak seperti pengkritik di laman web dan blog yang tidak berbuat apa-apa. Khairy juga mencabar agar pengkritik-pengkritik ini keluar dan tunjukkan keberanian.

Inilah tahap keberanian dalam akal budi orang yang dikatakan penasihat Perdana Menteri. Lebih menghargai keberanian “pertunjukkan” dari keberanian “sejati”. 

Kalau Khairy benar-benar bijak dan boleh berfikir, sudah pasti beliau boleh menilai tentang  keberanian beberapa orang yang membongkar kemungkaran-kemungkaran yang mungkin berlaku dihadapanya berbanding,  nilai berani terjun-terbang-berenang dan melompat-lompat yang dijadikan projek kemegahan. Rasuah, penyelewengan dan penipuan (termasuk dakwaan penipuan SPR), harus secara berani ditanggani dan dilawan oleh golongan muda Malaysia. Inilah berani sejati. Tidak perlu saya sebutkan lagi siapa-siapa yang rela masuk penjara kerana melawan itu semua, Khairy tahu siapa mereka, cuma dia tidak berani untuk mengiktirafnya 

Atau mungkin juga Khairy (yang juga diistilah among the best brain in Malaysia) tersihir akan kata-kata Timbalan perdana Menteri, Najib Tun Razak beberapa tahun dulu, katanya – erti kemerdekaan ialah apabila kita dengan bangga dapat mengibarkan bendera, sebab itu agaknya beliau mahu putera-putera Umno kibarkan bendera di kutub utara.  Apa kata kita suruh beruang kutub sahaja?     

Add comment Mac 20, 2007

SPM – 24 A, 7 A, 19 A……

Minggu ini minggu cerita A..A..A..A..A, tentang keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Malahan sebelum keputusan rasmi keluar lagi ada menguar-uarkan Nadiah Amira, dari Rengit Johor, bakal mencapai 19 A 1, siap bergambar dengan banting yang berwarna-warni. Mungkin telah siap kontrak buat si Nadiah, untuk memujanya menjadi selebriti sementara, — kopi Nadiah, pensil Amirah, buku nota Amirah, hak cetakan buku panduan belajar Amirah, mungkin dan mungkinlah.

Keputusan keluar semuanya terbalik, anti klimaks tiada pelajar yang layak menerima anugerah pelajar terbaik Malaysia, bunyinya sama seperti selama beberapa tahun tiada anugerah sasterawan negara pada awal alaf baru lepas.

Tiba-tiba, sepertinya suatu yang sarkastik, Utusan Malaysia menampilkannya sebagai menipu — seorang di Perak mengaku mendapat 24 A1, Kelantan pula umum pelajar dari negerinya sebagai terbaik di Malaysia.

Kesimpulannya, ialah masanya orang politik murahan bergambar dengan pelajar terbaik, kerana kelipan cahaya kamera sedang mencari mereka. Samaada pelajar itu pelajar terbaik betul atau pelajar terbaik saduran dan rekon.

Add comment Mac 16, 2007

Mesin Modul Insaniah UPM

Semalam, sewaktu menonton warta berita TV1, dikhabarkan, Universiti Putra Malaysia (UPM) — tempat saya belajar dahulu, telah melaksanakan satu modul yang disebut modul Insaniah.

Tujuannya ialah untuk melatih mahasiswa agar lebih kompetatif, berketrampilan dan mampu bersaing dengan keluaran universiti lain dalam dunia pekerjaan setelah mereka tamat belajar. “Ya inilah bukti universiti sekarang sangat sayangkan dan prihatin dengan mahasiswa-mahasiswinya” mungkin itulah maksud yang cuba diterangkan dalam laporan tersebut.

Modul ini akan mengajar dan mendidik mahasiswa beberapa perkara seperti pemikiran kritis, berorganisasi, komunikasi, bahasa Inggeris dan beberapa perkara yang dikira penting bagi dunia pekerjaan.

Modul ini adalah contoh terbaru mentaliti kilang yang saya sebutkan sebelum ini. Walaupun modul ini dikawal selia oleh orang dari fakulti ekologi manusia, saya kira mereka akan membuat kerja sia-sia.  Kerana modul ini tidak diiring dengan kondisi manusiawi.

Saya kira sasaran yang mereka sebutkan seperti kemahiran komunikasi, pemikiran kritis, berorganisasi, dan kerja berkumpulan tidak akan lahir dari modul ini. Modul ini hanya seperti bedak yang menutup jerawat.

Semua sasaran yang mereka gariskan dapat dicapai bila mahasiswa dan mahasiswi diberikan ruang kebebasan– kebebasan akademik, kebebasan bersuara, kebebasan berorganisasi dan kebebasan akademik yang selama ini terbungkam.

Saranan saya soal kebebasan ini pasti dijawap mereka—kita telah benarkan kebebasan  tapi kemudian berjela-jela pula batasnya yang lebih kurang sama tiada kebabasan. Kalau ditekan lagi pasti akan keluar dari mulut mereka untuk seorang melayu seperti saya — kita kena jaga melayu, tengok orang cina mereka ada organisasi mereka, mereka boleh bersaing, mereka akan merampas hak politik kita kalau kebebasan ada.

Inilah yang wujud dalam kepala mereka yang cipta modul ini, walaupun mungkin ianya dicipta oleh mereka dari fakulti ekologi manusia, tapi modul ini akan hilang kesannya kerana tanpa disedari mereka menyangka mendidik manusia sama seperti mengajar “mikel” mencari kelapa.   

Kerajaan Malaysia sering mengaku  anti-komunis, tapi tingkah laku ini tiada bezanya dengan komunis.

1 comment Mac 12, 2007

Berembang & Rimba Jaya, BN Sudah Hilang Jiwa

Kejadian yang menimpa beberapa penduduk kawasan setinggan di Selangor dalam tempoh sehari dua ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional telah mula hilang akal dan jiwa sebagai manusia. Kampung Berembang yang terletak di Ampang dan Rimba Jaya telah dirobohkan atas arahan kerajaan negeri dan melibatkan tindakan ganas dan hilang humiliti, dikalangan pelaku dan pemerintah tindakan tersebut.

Memang berlaku sedikit asakan dari penduduk, tetapi ianya dapat dikawal kalau bermula dengan setiap pihak menunaikan janji yang termetrai.

Angkatan Muda melahirkan rasa takziah keatas mereka yang terlibat dan seboleh mungkin membantu teman-teman yang ditimpa musibah akibat perangai tamak dan hilang kemanusiaan ini.

Gempuran Unit Simpanan Persekutuan (FRU) & majlis tempatan juga polis menunjukkan aparatus keamanan, yang sewajarnya memelihara keamanan telah melahirkan suasana tidak tenteram.

Ini juga adalah contoh jelas bagaimana laba ekonomi yang digembur-gemburkan hanyalah ilusi kepada rakyat kerana semakin ramai rakyat terpaksa menghadapi kesusahan dan keperitan walaupun negara didakwa semakin maju dengan angka-angka yang memberangsangkan.

Kami tidak memusuhi pembangunan, tetapi ianya harus dilakukan secara berhemah dengan perbincangan yang memberikan kepuasan hati semua pihak, bukan dengan paksaan, ugutan dan tindakan ganas seperti yang ditonjolkan di Berembang dan Rimba Jaya Akal yang sihat tidak akan melakukan kegiatan seumpama gangster dan jiwa yang sihat juga tidak tergamak untuk membiarkan mereka yang berumah dilanggar rumah mereka untuk kepentingan 2-3 kerat yang semakin kaya.

1 comment Mac 9, 2007

Mentaliti Kilang

Saya tidak bermaksud mahu menghina apa-apa yang dikaitkan dengan kilang. Dan sudah pasti tidak mahu juga menafikan sumbangan kilang-kilang yang haram atau sah dalam memajukan pendapatan negara, paling tidak memberikan peluang pekerjaan pada rakyat.

Tapi tiada ungkapan dan konsep lain yang boleh dibayangkan untuk menjelaskan bagaimana sikap sebahagian besar orang & pemimpin kerajaan yang menjangkakan dan beriman pada pendirian semua perkara itu adalah boleh dibuat berasaskan prosedur & langkah yang piawai. Dalam kata mudah ramai percaya kaedah membuat benda (material), boleh juga untuk membentuk manusia, bangsa, negara dan tamadun.

Secara langsung begini; melahirkan tokoh fizik sama dengan membuat kereta yang seimbang berdasarkan hukum-hakam fizik, melahirkan orang yang subur akalnya sama dengan menghidupkan pokok getah yang subur.

Saya tak kata tidak boleh tapi tidak semua, setakat ingin membentuk otot dan fizikal pasti boleh, Malik Maidin, Terjun Kutub, Merentas Kutub, Angkasawan, semuanya boleh, tapi bila perkara yang berkaitan dengan otak, pasti berkecai.

Kalau tak percaya lihatlah bagaimana sarana Dato` Johan Jaafar — lahirkan penerima hadiah nobel menjelang tahun-tahun tetentu, kegilaan universiti menuruti piawai ISO-ISO, dan yang paling gila Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan sasaran 200,000 graduan, Debat 100 jam UiTM -DBP, debat 2-3 hari, panjat Everest dan macam-macam lagi. Perkara sama wujud dengan universiti-universiti lain, hotdog terpanjang, berbasikal jelajah timur-utara dan masak gulai berkawah-kawah.
Kalau akal budi begini diteruskan memang universiti, badan “pemikir” (macam DBP), media dan sektor-sektor strategik dalam masyarakat akan jadi kilang yang lahirkan materi, alat, perkakas mungkin boleh jadi pencacai. Yang boleh diguna atau dibuang juga dibakar.

5 comments Mac 7, 2007

Previous Posts


 

Mac 2007
I S R K J S A
    Apr »
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
262728293031  

Arkib

Kiriman Terbaru